Pemimpin tertinggi Perikatan Nasional ponteng sesi soal perdana menteri sekali lagi

Tiga pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) sekali lagi gagal memanfaatkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) selepas tidak hadir di Dewan Rakyat ketika sesi terbabit berlangsung pagi ini.

Maklumat itu dikongsikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook selepas memuat naik gambar memaparkan tempat duduk kosong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin (Pagoh-PN) dan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang-PN).

“Pagi ini YAB DS Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan.

“Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri diadakan setiap Selasa.

“Ini peluang terbaik Pembangkang bangkitkan soalan, berdepan, dan bersemuka dengan Perdana Menteri,” katanya.

PMQT bermula pada 14 Februari lalu bagi menggantikan sesi soal jawab menteri pada setiap Selasa.

Ahli parlimen diberi peluang untuk melontarkan soalan utama kepada Perdana Menteri, dengan wakil rakyat lain boleh mengajukan soalan susulan.

Bagaimanapun setakat ini tiga pimpinan blok pembangkang tersebut masih belum mengambil bahagian ketika sesi tersebut.