Pengeluaran caruman KWSP tidak dibenarkan untuk melindungi rakyat

Kerajaan bertanggungjawab melindungi rakyat terutamanya golongan berisiko seperti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua. Justeru itu, kerajaan tidak membenarkan pengeluaran caruman secara bersasar, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau menjelaskan bahawa pengeluaran sebegitu akan mengurangkan simpanan hari tua pencarum tanpa menjejaskan dana kerajaan.

“Dalam tempoh dua tahun lalu, sejumlah RM145 bilion caruman KWSP telah dibenarkan keluar oleh pentadbiran sebelum ini.

“Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, pengeluaran juga akan memberi kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak mengeluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

“Jika pulangan KWSP secara keseluruhannya rendah, maka pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu, dalam keadaan sebahagian besar daripada pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hari tua.

“Sebab itu, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan kerajaan sebaliknya ialah menambahkan lagi caruman dan simpanan di hari tua kepada pencarum-pencarum KWSP,” jelasnya.

Rafizi berkata tindakan kerajaan sebaliknya ialah untuk menambahkan lagi caruman dan simpanan hari tua kepada pencarum dan bukannya membenarkan pengeluaran seperti yang dituntut segelintir pencarum.

“Oleh sebab itu kerajaan memilih jalan yang memberi kebaikan kepada semua pihak, bukan memilih jalan singkat yang akan meninggalkan masalah kepada pemimpin lain pada masa hadapan untuk diselesaikan,” katanya.