Pengeluaran KWSP dikhuatiri jejaskan pasaran bon negara

Pengeluaran bersasar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika dilaksana dikhuatiri akan memberikan kesan kepada pasaran bon negara, kata Ahli Parlimen Subang.

Beliau berkata sekiranya kedudukan KWSP sebagai salah satu pelabur terbesar di pasaran bon tempatan terjejas, ia akan meningkatkan risiko bon akan terlepas kepada pelabur asing.

“KWSP merupakan pembeli bon kerajaan yang cukup besar dan wang daripada bon ini digunakan untuk perbelanjaan pembangunan kerajaan.

“Sekiranya KWSP tidak cukup dana, bon ini akan dijual ke pelabur asing dan ini akan meningkatkan risiko bon di tangan pelabur asing,” kata Wong Chen ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

WONG CHEN

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan kekal dengan keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran wang simpanan dalam tabung KWSP kerana ia akan memberi impak terhadap pemegang akaun ketika menghadapi hari persaraan nanti.

Pengeluaran bersasar KWSP telah dijadikan senjata politik oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menekan Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jun atau Julai ini.

Wong Chen yang juga Pengarah Dasar PKR berkata selain mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masa hadapan ahli, KWSP juga perlu memastikan ia dapat mengekalkan prestasinya pada masa hadapan.

Jelas beliau sekiranya pengeluaran ini dibenarkan lagi, KWSP terpaksa menjual pegangan bon mereka di luar dan dalam negara secara besar-besaran dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

“Jadi dasar (tidak membenarkan pengeluaran caruman secara bersasar) ini ada juga impak positif kepada kawalan risiko bon kerajaan,” ujarnya.

Jelasnya, sebarang pengeluaran tambahan akan memberi impak terhadap kewangan KWSP dan melemahkan kedudukan portfolio semasa dan keupayaannya untuk menjana pulangan yang mampan.

Setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

Tahun kewangan 2022 juga menyaksikan pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.

BACA JUGA: Anwar tolak langkah popular ‘tebuk’ KWSP, utamakan dana persaraan