Rekod tertinggi, Selangor miliki hampir dua juta pemilikan atas tanah dan strata

Selangor memiliki rekod tertinggi pemilikan atas tanah dan berstrata dengan 1.8 juta pegangan atau pemilikan hartanah milik individu setakat ini.

Sehubungan itu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan pemilikan tersebut boleh mencecah dua juta dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

“Kita ada lebih kurang 1.2 juta pegangan atau pemilikan atas tanah dan 500,000 bagi pemilikan strata.

“Ia tidak termasuk pemilikan kerajaan yang sudah digazetkan. Ia bermakna 1.8 juta itu adalah pegangan atau milikan peribadi (individu),” lapor Selangorkini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua yakin pemilikan hartanah itu boleh mencecah sehingga dua juta susulan beberapa projek yang sedang berlangsung di seluruh negeri itu.

Terdahulu, beliau merasmikan merasmikan Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan pelancaran Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di bangunan pentadbiran kerajaan negeri, hari ini.

Susulan Selangor mempunyai pegangan hartanah tertinggi, Amirudin berkata kewujudan OSC PTGS menjadi satu keperluan bagi membantu mempercepatkan pelbagai urusan berkaitan tanah.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berkaitan urusan penghantaran dokumen serahan tanah dan strata, pungutan perserahan, pembelian carian rasmi dan persendirian.

“Ia juga termasuk permohonan hak milik hilang atau rosak serta pembayaran cukai tanah dan fi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap dengan pengubahsuaian OSC PTGS di tingkat satu bangunan pentadbiran kerajaan negeri dapat memberi keselesaan bukan hanya kepada pelanggan malah kakitangan juga.

“Saya berharap pejabat dan kaunter baharu ini dapat memberikan semangat lebih kepada warga kerja PTGS untuk melaksanakan tanggungjawab dan mempertingkatkan taraf kecekapan dan kualiti kerja mereka,” katanya.

Katanya, pembinaan pusat sehenti yang dilaksanakan pihak kontraktor dengan kos kontrak bernilai RM10.76 juta itu dimulakan pada 14 Disember 2020 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Mac lalu.

BACA JUGA Gabungan PH+BN boleh menang bergaya di Selangor