‘Sanusi jadi MB pada 2020, tentulah angka dari 2021 jadi tumpuan’

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan tumpuan berkenaan jumlah keluasan tanah rizab Melayu di Kedah adalah selepas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Menteri Besar.

Beliau berkata demikian mempertahankan kenyataan berhubung penurunan jumlah keluasan tanah rizab Melayu di Kedah susulan usul merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Menurut pemimpin PKR berkenaan, beliau mengambil maklum kenyataan dibuat oleh Sanusi mengenai peningkatan tanah rizab Melayu Kedah dari 1933 hingga hari ini.

“Namun, memandangkan beliau mula menjadi menteri besar pada 2020, tentulah angka dari 2021 hingga 2022 menjadi tumpuan berbanding Kedah ketika era British dan jajahan Jepun atau Siam pada Perang Dunia Kedua,” katanya di Facebook hari ini.

Nik Nazmi turut mengulangi bahawa angka berkaitan keluasan tanah itu disediakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) berdasarkan maklumat pejabat berkenaan di Kedah.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan yakin dengan kerja penjawat awam terlibat di peringkat persekutuan dan negeri.

“JKPTG tidak menerima maklumat tambahan dari pejabat PTG Kedah dari 1 Disember hingga 29 Mac tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengemukakan surat dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah bertarikh 30 November 2022 kepada JKPTG yang menyatakan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah seperti yang telah dinyatakannya dalam jawapan di Parlimen pada 29 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, maklumat tentang peningkatan keluasan tanah rizab Melayu Kedah seperti dibangkitkan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman tidak dikongsikan dengan pihak JKPTG.

Wakil rakyat Pas tersebut hari ini mendakwa Nik Nazmi memberikan jawapan mengelirukan berhubung fakta tanah rizab Melayu di Kedah dan menghantar usul untuk merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Ujarnya, usul itu dibuat terhadap Nik Nazmi yang disifatkan menghina majlis dan ahli dewan bawah Perkara 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sementara itu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mmenafikan dakwaan Nik Nazmi, dengan menyatakan data hingga 19 Januari menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.

Reaksi Sanusi itu selepas Nik Nazmi pada 29 Mac di Parlimen memaklumkan bahawa tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.

Jelasnya, tanah rizab Melayu di Kedah berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar.

BACA JUGA Sanusi diarah bayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz