Sanusi Md Nor hadir pelancaran LIMA di KL

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari mengesahkan kehadiran Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor di pelancaran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 20 Januari yang lalu di Kuala Lumpur.

Ia sekaligus membuktikan bahawa Sanusi berbohong dengan mendakwa bahawa beliau dihalang dari menghadiri pameran tersebut.

“Perlu ada kerjasama kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri. Saya tak tahu maklumat dia. Setahu saya, YAB Menteri Besar Kedah memang dijemput di pelancaran LIMA di Kuala Lumpur tempoh hari dan beliau hadir di pelancaran itu kerana untuk menjayakan LIMA kita perlukan kerjasama dan kita buat LIMA di negeri Kedah pun untuk rakyat negeri itu juga,” kata Adly di dalam satu rakaman TikTok ketika disoal wartawan.

Pada 28 Mac, Sanusi mendakwa, menerusi hantaran Facebook, bahawa kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengharamkan kehadirannya di majlis kerajaan pusat termasuk LIMA.

Isu ini timbul ekoran dari temberang yang diuar-uarkan oleh Sanusi menerusi hantaran Facebook

Adly menjelaskan bahawa setakat ini hanya pelancaran LIMA yang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Pelancaran di KL ialah program pertama LIMA. Belum ada program lain. Menteri Pertahanan turut menyebut bahawa semua pihak dijemput untuk menjayakan LIMA ini. Tidak timbul soal siapa yang diasingkan dan sebagainya

Beliau turut menafikan bahawa ada usaha dari peringkat pusat untuk menhalang Sanusi.

“Memang kita perlukan kerjasama beliau dan seperti mana yg disebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memang kita akan terus beri kerjasama. Kita pun tak lihat apa-apa pekeliling untuk halang beliau.”

Beliau turut menekankan peri pentingnya kerjasama di antara kerajaan pusat dan Kedah untuk menganjurkan pameran ini.

“Dasar kita jelas bahawa kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk menjayakan LIMA adalah satu yang penting.

“Kalau ada program kerajaan negeri dengan kementerian, itu harus dibuat secara tersusun. Untuk pelaksanaan LIMA, memang perlu ada kerjasama negeri dan kerajaan persekutuan kerana bagi kami kedua-dua pihak inilah yang menjadi teras untuk menjayakan LIMA.

Adly turut meminta Sanusi agar tidak menggambarkan kerajaan persekutuan sebagai jahat dan sebagainya.

Pameran LIMA ke-16 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei dengan tema Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia.