Sesi pertanyaan perdana menteri diteruskan

Sesi pertanyaan perdana menteri diteruskan pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat. Hanya sesi jawab lisan tidak diadakan sejak semalam.

Isu utama yang akan diperjelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meliputi tiga perkara:
a) lawatan beliau ke China
b) kewajaran penyahsenaraian nikotin daripada Akta Racun 1952 dan implikasi negatif
c) pegawai perubatan lantikan kontrak

Lawatan beliau ke China dibangkitkan oleh Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) dari sudut peluang pelaburan dan manfaat untuk rakyat Malaysia.

Isu penyahsenaraian nikotin pula dibangkitkan oleh Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Isu pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melancarkan mogok pula dibangkitkan oleh Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran).

Beliau membangkitkan persoalan jumlah pegawai perubatan lantikan kontrak dan implikasi kewangan sekiranya kesemua mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap.

Dalam perkembangan berkaitan sebanyak tiga rang undang – undang pindaan akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu:

  • Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023
  • Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023
  • Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023

Pindaan untuk ketiga-tiga rang undang-undang di atas adalah berkaitan dengan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri.

Seterusnya Perdana Menteri juga akan mencalonkan dua nama ahli parlimen untuk mengetuai jawatankuasa kira-kira wang negara.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) telah dinamakan sebagai pengerusi jawatankuasa kira-kira wang negara manakala Wong Shu Qi PH-Kluang telah dinamakan sebagai naib pengerusi.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meneruskan tradisi yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan di dalam jawatankuasa kira-kira wang negara

Menteri Kewangan akan membawa usul menukar baki pinjaman kerajaan bernilai RM165,282,814.00 kepada UDA Holding Berhad kepada ekuiti modal saham pada nilai yang sama.

Sebanyak empat rang undang-undang akan didebatkan oleh ahli parlimen dalam sesi bacaan kali kedua. Tiga melibatkan Kementerian Pengangkutan manakala bakinya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Rang undang-undang Kementerian Pengangkutan ialah yang melibatkan pengangkutan jalan, pengangkutan awam darat dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

Kementerian Dalam Negeri akan membentangkan rang undang-undang pencetakan teks al-Quran.