Anak Hamzah Zainudin didakwa berkaitan minyak masak subsidi

Muhammad Faizal Hamzah, anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini berkaitan dengan pelanggaran kepada peraturan minyak masak subsidi.

Faisal, 39, telah didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55, selaku Pengarah dalam Rimba Merpati Sdn Bhd, pemegang lesen borong minyak masak, lapor The Edge.

Mereka berdua didakwa memberikan maklumat yang salah apabila mengeluarkan invoice penjualan minyak masak kepada syarikat penjualan tempatan.

Ia dikatakan melanggar Seksyen 8(4) Akta Kawalan Pembekalan 1961 di mana minyak masak adalah barangan kawalan di bawah akta ini.

Invoice palsu ini ditemui dalam serbuan yang dibuat ke atas premis syarikat ini pada Ogos 2022 ketika Hamzah adalah Menteri Dalam Negeri.

Kedua-dua mereka juga didakwa secara bersama oleh pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ekoran pemilikan lebih 50 ton metrik minyak masak di premis syarikat yang terletak di Sinar Andalas, Senawang.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM2 juta untuk kesalahan pertama, atau RM5 juta untuk kesalahan kedua.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di depan hakim Mazni Nawi.

Hamzah adalah Menteri Dalam Negeri semasa kerajaan Perikatan Nasional dan Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semasa kerajaan Barisan Nasional.

 

BACA JUGA Menara KL: Pengarah didakwa beri rasuah RM500,000 untuk Annuar Musa

JUGA Hadi, Mahiaddin, Hamzah berani menyalak di luar, tapi lari semasa PMQT