Kathakali bantu fahami komuniti Malayali

Kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mementingkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, adat dan budaya di Malaysia.

Dalam hal ini, apabila bercakap tentang budaya kaum India, kita sebenarnya lebih ketara hanya menumpukan kepada aspek budaya komuniti Tamil. Hal ini tidaklah menghairankan kerana sekitar 85% kaum India di Malaysia terdiri daripada keturunan Tamil.

Sepatutnya, kita amat wajar turut mengambil tahu tentang budaya komuniti Malayali, Telugu, Punjabi, Gujarati, Bengali, Chetti Melaka dan sebagainya yang juga merupakan diaspora India.

Dalam hal ini, saya amat teruja apabila kathakali dan mohiniyattam yang merupakan tarian klasik dan identiti unik komuniti Malayali semakin popular dalam kalangan kaum India di Malaysia.

Situasi ini mungkin juga berlaku kerana filem Tamil dari Tamil Nadu, India juga semakin tertarik dengan elemen budaya, pakaian, tarian dan lagu komuniti Malayali di negeri Kerala.

Maka, kaum India di Malaysia yang menonton filem-filem berkenaan semakin kenal akan kathakali dan mohiniyattam. Terkini, dalam filem Varisu lakonan Vijay ditampilkan sedikit babak tarian kathakali.

Di Malaysia pula, hasil penelitian saya, persembahan kathakali tidak popular. Malah, persatuan mewakili komuniti Malayali juga kurang menunjukkan minat dan komitmen untuk mengangkat dan mempromosikannya.

Situasi ini berlaku mungkin kerana kathakali tidak mudah dipelajari dan tidak mudah juga dipersembahkan. Nama kathakali itu sendiri menggabungkan “drama” dan “cerita”. Maka, ia merupakan sebuah dramatari iaitu menyampaikan drama dengan gabungan elemen tarian.

Maklumat terperinci tentang sejarah dan keunikan kathakali dan mohiniyattam dihuraikan dalam kumpulan esei Mandala Bicara (2016). Bolehlah dibaca jika anda berminat untuk mengetahui secara lebih lanjut kedua-dua bentuk seni persembahan klasik berkenaan.

Baru-baru ini, saya bertemu pasangan suami isteri Kishore Vimal Raj dan Saraswathy Sivangnanam di Sara Fusion Dance Studio, PJCC, Petaling Jaya untuk mengetahui secara lebih dekat bagaimana mereka mula berminat dan berusaha mempelopori kathkali di Malaysia.

Saya mengenali mereka kerana sama-sama terlibat dalam Simposium Kathakali yang diusahakan oleh Saraswathy pada Januari 2020 di Kuala Lumpur.

“Simposium itu saya anjurkan sebagai projek akhir bagi menamatkan pengajian sarjana muda pengurusan seni di Akedemi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara),” Saraswathy menceritakan.

Sebenarnya, jauh sebelum itu, Saraswathy dan Kishore terlibat dalam bidang tarian tradisional, moden dan fusion iaitu gabungan moden dan tradisional. Terdapat sekitar 20 kanak-kanak dan dewasa yang dibimbing di studio mereka.

“Selain daripada membuat persembahan tarian, kami juga menerima undangan menjadi pengiring semasa pengantin lelaki dan wanita dibawa masuk ke dewan perkahwinan. Kami cuba memberikan tarian iringan yang terbaik dan memenuhi citarasa pelanggan,” kata wanita berumur 33 tahun ini.

Ramai pula pelanggan yang meminta mereka menyajikan sesuatu yang unik dan lain daripada kebiasaan. Pelanggan keturunan Malayali pula mahukan tarian berunsur budaya komuniti itu semasa mengiringi pengantin.

Pada tahun 2016, pasangan suami isteri ini mula mendalami kathakali dan mohiniyattam yang kurang dikenali di Malaysia. Saraswathy mengaku benar-benar teruja dan jatuh cinta pada keunikan dan kekayaan yang dimiliki kedua-dua bentuk seni persembahan itu.

“Kami memutuskan untuk mendalami kathakali dan mohiniyattam tetapi malangnya kita tidak ada pakar dan tenaga pengajar di sini. Busana atau pakaian bagi penari juga tidak ada di sini,” Saraswathy menceritakan sambil Kishore mengangguk setuju.

Maka, mereka berdua memutuskan untuk pergi ke Kerala (negeri di bahagaian barat daya negara India) bagi mendalami bukan hanya kathakali dan mohiniyattam, tetapi juga sejarah dan budaya komuniti Malayali yang menjadi latar belakang kepada kedua-dua seni persembahan tradisional itu.

Usaha mereka ternyata membuahkan hasil kerana bukan setakat berjaya membeli busana dan peralatan lain bagi persembahan kathakali dan mohiniyattam, malah dapat pula menyaksikan persembahan dan menyertai bengkel tarian di sana.

Saraswathy (kanan) dan Kalithasan mempelopori kathakali dengan cara tersendiri.

Buku seperti Kathakali: Dance Theatre (2016) oleh K.K. Gopalakrishnan menjadi bahan rujukan yang amat berguna untuk Sarawathy dan para penarinya menghayati dan memahami dramatari itu sepenuhnya.

“Susulan daripada itu, saya memutuskan untuk mengkhusus tentang kathakali dan menganjurkan Simposium Kathakali semasa belajar di Aswara,” kata Saraswathy yang sangat teruja kerana berpeluang menjadi semacam pelopor kathakali di Malaysia.

Dalam kumpulannya, ada dua gadis yang mengkhusus dalam tarian mohiniyattam. Kishore biasanya memegang watak Rama atau Arjuna yang berwajah hijau (pacca). Rakan mereka, Kalithasan Pulanthiran yang merupakan guru tarian klasik juga bergilir-gilir memegang peranan itu.

Saraswathy pula memainkan peranan wanita yang digelar minukka (bersinar) dan dapat dikenali menerusi wajah dicat warna kuning atau jingga. Pada awalnya di Kerala, peranan minukka juga dipegang pelakon atau penari lelaki. Bagaimanapun, kemudian wanita mula terlibat sama dalam persembahan kathakali, lalu memegang watak minukka.

“Pada peringkat awal, kami membuat persembahan mengiringi pengantin lelaki dan wanita dengan iringan muzik yang sedia dirakam. Kemudian, ada satu upacara perkahwinan orang Malayali menggunakan pemain chenda (gendang tradisional) dan kami teruja membuat persembahan selari dengan alunan muzik rancak itu,” jurulatih tarian itu menceritakan lagi.

Buat masa ini, kumpulan mereka menerima undangan dua bulan sekali ke majlis perkahwinan. Perlu dinyatakan bahawa tarikh perkahwinan dalam agama Hindu adalah berdasarkan kalendar khas yang dinamakan panjangam. Maka, perkahwinan tidak diadakan pada setiap minggu tetapi hanya pada musim tertentu.

“Bukan hanya orang Malayali, tetapi orang Tamil juga sangat berminat mengundang kami menjadi pengiring sebagai penari kathakali dan mohiniyattam pada majlis perkahwinan. Selalu juga ada beberapa undangan pada tarikh sama dan kami terpaksa menerima satu sahaja,” ulasnya.

Selain daripada sekadar menjadi pengiring pengantin lelaki dan wanita, pasukan yang diketuai oleh Saraswathy juga sering bertemu mesra dengan para tetamu pada majlis perkahwinan.

“Tindakan ini memberi kami peluang untuk mempromosi dan memperkenalkan kathakali dan mohiniyattam kepada orang ramai. Ramai yang terasa seronok dan begitu ingin tahu kerana ia sesuatu yang sangat baharu kepada mereka. Ramai pula yang mahu bergambar dengan kami dan kami melayan permintaan mereka dengan gembira,” kata Saraswathy.

Saya sendiri mula mengkaji dan mendalami seni persembahan kathakali dan mohiniyattam semasa belajar di Universiti Malaya pada tahun 1990-an. Pada waktu itu, kathakali hampir tidak dikenali di Malaysia.

Kebimbangan terhadap hilangnya minat generasi muda terhadap seni persembahan itu saya luahkan menerusi rencana di majalah Dewan Siswa (Oktober 1995) dan cerpen berjudul “Kathakali” (Dewan Siswa, April 2003).

Apabila melihat minat dan kesungguhan Saraswathy, Kishore dan Kalithasan memelihara dan mengangkat keunikan seni persembahan kathakali, saya mampu menarik nafas lega.

Malah, saya amat gembira kerana walaupun bukan keturunan Malayali, mereka menjadi pelopor dan peneraju kepada usaha menghidupkan kembali seni persembahan kathakali dan mohiniyattam di Malaysia.

“Kami ada mengadakan sesi demonstrasi khas mengenai kathakali tidak lama lagi di studio kami. Harapan kami adalah supaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lebih mengenali seni persembahan yang unik ini,” kata Saraswathy dengan penuh harapan.

———-

Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Kisah madani dalam mitos Hindu