Negeri Sembilan sumbang lebih RM550,000 untuk sekolah pondok, tahfiz

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan sumbangan sebanyak RM552,600 kepada seluruh pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar di negeri itu bertujuan membantu insitusi pendidikan di sana.

Dengan sumbangan tersebut, beliau berharap ia akan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar yang bukan sahaja datang dari negeri berkenaan, malah dari luar Negeri Sembilan.

“Alhamdulillah, di bulan Ramadan ini, kita telah memberikan sumbangan kepada semua sekolah pondok dan tahfiz yang berdaftar melalui pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri hari ini

“Tujuan pemberian ini adalah bagi membantu sekolah-sekolah tahfiz sedia ada terutamanya yang diusahakan oleh pihak persendirian,” kata beliau yang juga Adun Sikamat selama tiga penggal, sejak 2008.

“Untuk makluman, di bawah PINTA, terdapat 78 buah pusat tahfiz di negeri ini dengan jumlah keseluruhan kira-kira 6,000 pelajar, manakala kakitangan dan guru-guru ada lebih kurang 400 hingga 500 orang.”

Sidang media tersebut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi Aminuddin.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, sumbangan tahunan dana tahfiz itu telah dimulakan sejak 2019.

Pada 21 Mac lalu, Aminuddin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM125,000 kepada masjid dan surau yang terdapat dalam Parlimen Port Dickson.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sumbangan itu diberikan bagi membolehkan institusi agama Islam tersebut menjalankan aktiviti sempena bulan Ramadan.

Pilihan raya negeri di Negeri Sembilan dijangka akan berlangsung selepas dewan undangan negeri dibubarkan selewat-lewatnya dalam bulan Jun.

Terdapat lima negeri lain yang akan turut berdepan pilihan raya negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson