Kerajaan Perpaduan Melaka: 10 Exco angkat sumpah termasuk seorang wakil PH
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka melibatkan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh hari ini.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu dilakukan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Pelantikan barisan Exco itu dibuat selepas lima hari Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengangkut sumpah sebagai Ketua Menteri.
ADUN Kesidang Seah Shoo Chin yang menjadi wakil tunggal PH telah dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna sekali gus menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti peringkat Persekutuan.
Mendahului istiadat mengangkat sumpah adalah Datuk Rais Mohd Yasin (BN-Paya Rumput) sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.
Ia diikuti Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas) di bawah portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan, Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau) sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Seterusnya Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Kalsom Nordin (BN-Pengkalan Batu) sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
Turut dilantik adalah Datuk Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.
Turut dilantik adalah Ngwe Hee Sem (BN-Machap Jaya) sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN- Ayer Limau) menjawat Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.
Pengerusi MIC Melaka, VP Shanmugam (BN-Gadek) pula mengekalkan jawatannya sebelum ini sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan.
Sebelum itu, Ab Rauf yang merupakan ADUN Tanjung Bidara memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Exco yang digugurkan ialah ADUN Serkam Datuk Zaidi Attan yang sebelum ini memegang Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar dan Datuk Jailani Khamis (Rembia) yang memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.
Ad Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 di Dewan Sri Utama Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka di Ayer Keroh pada Jumaat lalu.
Pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka itu dibuat selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyerahkan surat perletakan jawatan Ketua Menteri Melaka kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
BACA JUGA: Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-14
Â