Kesuburan lelaki membimbangkan

Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di negara ini didapati berada pada tahap membimbangkan, dedah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu di Dewan Negara hari ini.

Aiman berkata, berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN), sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

“Perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia. Mengambil pendekatan lebih proaktif, LPPKN juga telah mewujudkan Klinik Kesejahteraan Lelaki .

“Ia mula beroperasi pada Oktober 2022 di Klinik Subfertiliti Kuala Lumpur dan pada tahun 2023 ia diperluaskan ke enam lagi klinik LPPKN di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

“Klinik ini menawarkan ujian saringan kesihatan lelaki, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup sihat serta rawatan ubat untuk membantu meningkatkan kesuburan lelaki, memandangkan masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki semakin meningkat,” ujarnya.

Aiman Athirah berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tentang tindakan kementerian dalam menghadapi penurunan kadar kelahiran di negara ini.

Menurut Aiman yang juga Ketua Wanita AMANAH, Kadar Kelahiran Kasar di Malaysia telah menunjukkan trend penurunan sejak lebih 40 tahun lalu.

Katanya, ia juga berkait rapat dengan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) yang merujuk kepada purata bilangan anak dilahirkan oleh seorang wanita yang berusia di antara 15 hingga 49 tahun.

“Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), TFR negara turut menurun daripada 4.0 pada tahun 1980, kepada 2.1 pada tahun 2010 dan seterusnya 1.7 orang anak bagi setiap wanita pada tahun 2021.

“Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) peringkat nasional yang dilaksanakan oleh LPPKN setiap 10 tahun sejak tahun 1974, peratusan wanita berkahwin tidak mempunyai anak meningkat hampir dua peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Iaitu daripada 6.8 peratus pada tahun 2004 kepada 8.6 peratus pada tahun 2014. Trend ini akan terus dipantau melalui KPKM keenam yang akan dilaksanakan pada tahun 2024,” katanya lagi.

BACA LAGI:  Kerajaan cadang wajibkan kursus praperkahwinan pasangan bukan Islam