KWSP: Perikatan Nasional kering idea, beria-ia mahu rakyat korek poket sendiri

Tindakan ahli Parlimen pembangkang keluar dari sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu apabila permohonan usul pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dibahas ditolak jelas menunjukkan mereka sudah kering idea.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata langkah meningggalkan dewan persidangan adalah tindakan terdesak dan cuba menggunakan kaedah populis untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hari ini apabila permintaan mereka agar usul pengeluaran wang KWSP bersasar dibahaskan ditolak oleh timbalan speaker.

“Tindakan itu sebagai memprotes keengganan membenarkan usul itu dibahas. Langkah meninggal dewan adalah tindakan terdesak dan menunjukkan pembangkang tidak komited dengan dewan dan cuba cari populis daripada rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Sayuti yang telah mengamati dunia politik Malaysia hampir separuh abad berkata sekiranya pembangkang komited, mereka sepatutnya mengemukakan idea serta cadangan bagaimana untuk bantu rakyat dengan cara lebih munasabah bukan dengan cara korek poket sendiri.

Jelasnya di saat semua negara lain sudah pun menghentikan pengeluaran daripada dana persaraan seperti KWSP apabila pandemik berakhir, pembangkang masih berada pada tahap lama.

Katanya, kaedah itu mengambil pemikiran lama Mahiaddin Yassin agar wang simpanan masa depan rakyat dikeluarkan.

“Jadi apabila mereka beria-ia agar wang KWSP dikeluarkan nampak sangat kedangkalan mereka berfikir dan kekeringan idea,” kata beliau yang juga penulis buku Noktah Sebuah Penantian Anwar PM 10.

Terdahulu laporan menyebut Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi mengecam langkah Dewan Rakyat yang menolak usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan pada Isnin lalu.

Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bahru) berkata, langkah Yang di-Petua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menolak usul berkaitan rintihan rakyat menunjukkan kerajaan tidak cakna dengan keperitan rakyat yang terhimpit dengan tekanan ekonomi.

Semua Ahli Parlimen PN yang hadir bertindak keluar dewan sebagai protes apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan.

BACA JUGA: Pembangkang keluar Dewan Rakyat tak sampai 10 minit bersidang