Menteri Kabinet perlu lebih agresif tumpu selesai masalah rakyat
Menteri-menteri Kabinet disaran tidak hanya bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata sebaliknya bertindak lebih agresif dalam menyelesaikan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat.
Pengerusi Biro Pekerja PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyarankan menteri-menteri Kerajaan Perpaduan mengambil peluang yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk menangani isu-isu utama berkaitan rakyat khususnya kenaikan harga barang.
Ini kerana selain daripada kebajikan serta ekonomi rakyat, isu kenaikan harga barang utama seperti bahan mentah juga menjadi perhatian sejak kebelakangan ini.
“Sekarang peranan harus dimainkan oleh semua pihak dalam semua kementerian dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menzahirkan kos sara hidup itu dapat diimplementasikan.
“Saya sudah nampak saluran-saluran (cara penyelesaian) yang sudah dikemas kini oleh Anwar cuma menteri-menterinya perlu ke depan menjadi agresif untuk mendapatkan hasil yang perlu digembleng,” katanya dalam program bual bicara Studio Dahsyat malam tadi.
Program bual bicara bertajuk Selepas 24 Tahun, Anwar Ibrahim Dulu & Sekarang turut menampilkan blogger UMNO Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz manakala Zack Rockstar sebagai moderator.
Menurut Abdullah satu anjakan perlu dilakukan secara bersama bagi memperlihatkan pencapaian menteri dan kerajaan pemerintah bagi menyelesaikan isu yang membabitkan rakyat.
Beliau berkata, menteri-menteri harus dipastikan bukan sahaja mereka yang boleh bekerja dengan berkesan namun lebih penting ia mampu menangani isu rakyat berbanding barisan pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Sekarang memang ada langkah bagi menangani kos sara hidup yang telah dilakukan termasuk untuk mengurangkan harga barangan.
“Sebab itu kita lihat banyak dasar baru yang telah dibuat oleh Anwar lebih menjurus kepada penyelesaian isu rakyat di bawah,” katanya.
Sementara itu, Kamal Amir berkata, dalam tempoh 24 tahun perjuangan PM Anwar dalam dunia politik telah membuatkan dirinya menyimpan satu iktikad untuk tetap meneruskan perjuangannya.
“Saya mengibaratkan beliau (Anwar) seperti harimau garang yang terpasung di belakang jeriji besi tetapi apabila sudah keluar, siaplah!
“Kini Anwar sudah berada di luar gelanggang dan hanya menunggu masa untuk membaham sesiapa sahaja,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar Anwar dan barisan Kabinetnya dapat melakukan tugas dengan baik untuk menyelesaikan isu rakyat terbanyak terutamanya berkaitan dengan kos sara hidup.
Â