Perjuangan berasas keadilan, pembaharuan angkat PKR ke Putrajaya

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek mengajak masyarakat memahami bahawa sesebuah organisasi, parti dan institusi berteraskan pentadbiran yang baik akan menjadi kekuatan dalam membangun negara.

Sempena ulang tahun ke-24 penubuhan PKR, beliau berkata nilai-nilai pembaharuan atau islah dan penambahbaikan sistem juga menjadi nuansa yang diangkat dalam parti tersebut.

FADHLINA SIDEK

“Alhamdulillah hari ini (semalam) genap 24 tahun perjuangan KEADILAN di persada nusa. Setiap ranjau dan onak duri yang dilalui oleh aktivis parti adalah asbab yang memungkinkan kita sampai ke Putrajaya hari ini.

“Masih segar penulisan Dr. Syed Hussein Ali berkenaan Sejarah dan Dasar Perjuangan – Semua agama besar tegas mengajar dan mengutamakan nilai tentang Keadilan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

 

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata sebahagian daripada matlamat perjuangan parti juga menyebut tentang menyediakan pendidikan yang bermutu dengan bayaran murah dan munasabah.

Katanya perkara itu merupakan sebagai tanggungjawab sosial pemerintah terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Nilai-nilai islah dan penambahbaikan sistem ini adalah nuansa yang diangkat di dalam parti. Seterusnya menjadi tekad untuk diserap dalam mentadbir di peringkat kementerian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada semua anggota PKR.

Menteri Komunikasi dan Digital berkata, PKR adalah sebuah parti yang sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa sebarang diskriminasi bangsa, agama serta jantina.

“Semoga KEADILAN terus maju dan kukuh demi Malaysia Madani.

“Membujur lalu, melintang patah. Reformasi!,” katanya.

BACA JUGA: PRN Selangor: Wanita PKR mahu kuota 30 peratus calon dipenuhi

 

 

Â