PN cuba bermain emosi rakyat, gunakan isu pengeluaran KWSP
Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak mempunyai dasar ekonomi yang jelas apabila cuba bermain dengan emosi rakyat dengan menggunakan isu pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong berkata sikap itu menunjukkan PN tidak mempunyai sebarang idea bernas untuk program transformasi ekonomi kepada majoriti rakyat negara ini.
“Mereka menggunakan isu pengeluaran bersasar KWSP di Parlimen sedangkan negara kita sedang dalam proses pemulihan ekonomi.
“Ini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional tidak ada sebarang idea yang bernas untuk transformasi ekonomi kepada majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas tindakan ahli Parlimen PN keluar sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu sebagai memprotes keputusan Speaker menolak usul membahaskan pengeluaran bersasar KWSP.
Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ahli Parlimen PN sepatutnya menolong rakyat dengan membantu kerajaan menghadapi cabaran kitaran gaji rendah, produktivi rendah, kemahiran rendah dan aktiviti nilai tambah rendah.
“Kesemua kelemahan ini perlu diperbaiki segera. Gaji median pada 2021 hanya berada pada tahap RM2,250 sebulan, yakni 50 peratus pekerja Malaysia dibayar gaji kurang daripada itu.
“Kepada semua sahabat saya di pihak Perikatan Nasional, inilah masanya kita hadapi bersama semua cabaran sebagai sebuah negara tanpa mengira di mana tempat duduk kita dalam Parlimen. Kita memerlukan pembangkang yang mempunyai idea bernas serta penuh komitmen untuk rakyat,” katanya.
Mengulas aksi pembangkang, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata tindakan ahli Parlimen PN keluar Dewan Rakyat beramai-ramai merupakan kali pertama sejak negara ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan.
“Tindakan terancang itu sengaja dibuat untuk menunjukkan bantahan berikutan usul mereka membahaskan pengeluaran bersasar KWSP telah ditolak.
“Seperti sekadar drama, hampir kesemua ahli Parlimen pembangkang kembali masuk ke dalam dewan selepas 15 minit, setelah cuba meyakinkan pihak media tentang aksi mereka,” katanya.
Chin Tong berkata sebenarnya sudah empat kali pengeluaran bersasar KWSP dibenarkan iaitu pada 2020, dua skim dilancarkan iaitu i-Lestari dan i-Sinar, diikuti pada Julai 2021 dengan i-Citra sewaktu era pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Pengeluaran dari dana persaraan itu turut dilakukan pada April 2022, ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, katanya.
“Sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri selepas rampasan kuasa Sheraton, beliau tertekan dengan kemelut ekonomi dan politik.
“Pada mulanya beliau enggan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP tetapi tekanan yang keras menyebabkan dia mengalah pada Julai 2021. Dan sebulan kemudian beliau terpaksa meletak jawatan,” katanya.
“Dua pengeluaran bersasar yang awal pada 2020 memang merupakan keperluan kerana kehidupan rakyat Malaysia terjejas dilanda tekanan ekonomi akibat sekatan pergerakan atau lockdown berikutan pandemik Covid-19.”
BACA JUGA: KWSP: Perikatan Nasional kering idea, beria-ia mahu rakyat korek poket sendiri
Â