Sanusi pemfitnah nombor satu Kedah, kata Mahfuz

Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar berpendapat arahan Mahkamah Rayuan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membayar RM120,000 akan mempengaruhi persepsi rakyat terhadap Sanusi.

“Saya fikir masyarakat sudah boleh melihat bagaimana keputusan Mahkamah Rayuan itu mempengaruhi persepsi rakyat terhadap Sanusi sebagai pemfitnah nombor satu negeri Kedah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

“Apa yang diucapkan Sanusi itu temberang dan tidak boleh diterima,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman keputusan Mahkamah Rayuan ke atas Sanusi untuk membayar ganti rugi RM120 ribu kepadanya.

Jumlah ganti rugi yang ditingkatkan itu adalah ekoran fitnah terhadap Mahfuz berkaitan dengan pemindahan syarikat perjudian, Sports Toto ke Pokok Sena ketika Mahfuz menjadi ahli parlimen Pokok Sena.

Mahfuz ialah ahli parlimen Pokok Sena sejak 2008 hingga 2022.

Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional Kedah dan pengarah pilihan raya PN turut menerbitkan video bantahan penduduk yang mamaparkan sepanduk tertera nama Mahfuz

Mahfuz melihat keputusan mahkamah sebagai tindakan yang wajar memandangkan tuduhan yang dibuat ke atas adalah tuduhan yang berat.

“Saya percaya bahawa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menaikkan jumlah hukuman itu daripada RM50,000 hingga RM120,000 kerana fitnah Sanusi itu satu tuduhan yang sangat berat kepada saya.

“Saya juga serius membanteras judi bukan dia sahaja (Sanusi), tetapi janganlah sehingga memfitnahkan saya,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memfailkan saman terhadap Sanusi pada 23 Disember berhubung ucapannya yang berbaur fitnah dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ pada 13 November lalu.

BACA JUGA: Sanusi diarah bayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz