Soalnya ketidakhadiran bukan kualiti perbahasan PM
Sany Hamzan (Hulu Langat) menyangkal kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor yang mendakwa ketidakhadiran pemimpin blok pembangkang dalam sesi soal Jawab Perdana Menteri adalah disebabkan oleh kualiti perbahasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak berasas.
“Isu sekarang sebab tidak hadir ke Parlimen, sepanjang lapan minggu diadakan sesi PMQT, saya tengok ketiga-tiga (Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut), Tan Sri Mahiaddin Yassin (PN-Pagoh) dan Tan Sri Hadi Awang (PN-Marang) tokoh ini tiada. Sebagai ahli Parlimen tugas kita wajib untuk hadir kerana rakyat bayar elaun kepada kita,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.
Sany berhujah bahawa kualiti perbahasan perdana menteri boleh dipertingkatkan sekiranya blok pembangkang berfungsu seperti yang sepatutnya.
“Kalau andai kata tidak faham pada soalan dan jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri, sila bahaskan. Sebagai Ketua Pembangkang kamu diberikan keutamaan untuk bertanya soalan kepada PM,” ujarnya lagi, merujuk kepada Hamzah.
Semalam Wan Saiful menegakkan benang basah melalui satu kenyataan yang mempertahankan ketidakhadiran ketiga-tiga pemimpin tersebut sebanyak tujuh kali berturut-turut.
“Sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada Perdana Menteri. Kalau kualiti jawapan Perdana Menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” kata Wan Saiful.
Dalam pada itu, Sany turut mencadangkan agar Hamzah digantikan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) sebagai ketua pembangkang.
“Setakat ini yang saya lihat Arau (Shahidan Kassim) yang banyak memainkan peranan sebagai ketua pembangkang sebab Arau lebih banyak melakukan tugas soal-jawab berbanding Ketua Pembangkang sekarang yang kerap tidak hadir,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan tokoh veteran DAP Lim Kit Siang turut membidas kenyataan Wan Saiful.
BACA JUGA: Kasihan Wan Saiful, sangat terdesak pertahan pemimpin ponteng