Tanah Rizab Melayu: MP PN terperangkap dengan permainan sendiri – Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau sejak awal sudah menyedari sentimen yang cuba dibawa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ketika membangkitkan isu Tanah Rizab Melayu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata PN terperangkap dengan permainan mereka sendiri apabila sentimen yang cuba dibawa dalam usaha untuk menggambarkan hak Melayu tergugat di bawah Kerajaan Perpaduan, akhirnya makan diri sendiri.

Ini apabila data diperolehnya menunjukkan Tanah Rizab Melayu menunjukkan peningkatan namun di Kedah menurun dari 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar bagi tempoh 2021 hingga 2022.

“Yang ingin saya tegaskan ialah sebenarnya dari awal ada naratif yang cuba mereka mainkan, sebab kalau kita tengok soalan pertanyaan Parlimen itu, daripada awal ditulis Tanah Rizab Melayu (semakin berkurangan). Jadi mereka nak mainkan sentimen Tanah Rizab Melayu berkurangan.

“Dan bila saya menjawab secara keseluruhannya tanah Melayu telah meningkat, YB Maran bangun dan membangkitkan soal hak Melayu terancam.

“Jadi dia ada skrip. Bila skrip itu tak boleh ‘fit’ dalam naratif yang nak dimainkan, maka mereka terperangkap sendiri sebab negeri yang paling ketara yang hilang Tanah Rizab Melayu dalam tempoh 2021-2022 ialah negeri Kedah,” katanya ketika diberi laluan oleh Perdana Menteri dalam sidang media pasca Kabinet di Putrajaya.

Beliau turut menunjukkan data diperoleh daripada Ketua Pengarah Tanah dan Galian yang merekod setiap negeri di Semenanjung mencatat peningkatan Tanah Rizab Melayu kecuali di negeri Kedah.

Beliau turut menunjukkan surat terakhir yang dihantar negeri Kedah bertarikh 30 November 2022 yang mana jumlah Tanah Rizab Melayu yang disebut sama dengan jawapannya di Parlimen

“Jadi dakwaan di peringkat negeri Kedah ialah ada penambahan selepas itu pada tahun 2023. Tetapi data itu tidak sampai pada peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

BACA JUGA: Tanah Rizab Melayu di Kedah berkurang lebih 5,000 hektar hanya dalam setahun