4,524 fakir miskin Negeri Sembilan menerima sumbangan tunai RM300

Seramai 4,524 fakir miskin Negeri Sembilan akan menerima sumbangan tunai RM300 daripada kerajaan negeri sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri menerusi MBI Pemerbadanan akan menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM300 kepada 4,524 fakir miskin yang senarainya disahkan oleh Baitulmal Negeri Sembilan,” kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun selepas merasmikan dalam sidang media selepas merasmikan program Jelajah Aidilfitri Fakir Miskin di Masjid Jamek An-Nur, Rembau, hari ini.

Program kerajaan negeri tersebut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi Aminuddin.

Jelasnya, pemberian sumbangan tersebut akan disalurkan secara berperingkat bermula di Rembau dan Tampin serta disusuli daerah lain sepanjang Ramadan ini.

“Sumbangan akan diserahkan kepada penerima mengikut fasa di Negeri Sembilan dan diharap sumbangan yang disalurkan dapat memberi keceriaan kepada penerima,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri tersebut pada 29 Mac lalu.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, bantuan tersebut melibatkan 3,796 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM3.796 juta.

Untuk rekod, sejak 2018 kerajaan negeri telah menyalurkan beberapa bentuk bantuan sebagai tanda menghargai golongan penjawat awam di negeri berkenaan.

BACA JUGA: Penjawat awam Negeri Sembilan terima bantuan khas Aidilfitri RM1,000