Aidilfitri: 433 Pengerusi MPKK Negeri Sembilan terima bantuan RM1,000

Seramai 433 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Negeri Sembilan akan menerima RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menteri Besar berkata, seramai 433 Setiausaha MPKK turut menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM600 setiap seorang.

”Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Incorporated Pemerbadanan atau MBI akan memberikan bantuan khas itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM692,800.

“Bantuan itu sebagai bagi menghargai peranan Pengerusi dan Setiausaha MPKK di kawasan masing-masing.

”Diharapkan dengan bantuan ini ia akan menyemarakkan lagi semangat MPKK untuk bekerja lebih kuat membantu rakyat,” katanya memetik laporan Negeri Kita.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan negeri mengumumkan BKK sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri tersebut.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, bantuan tersebut melibatkan 3,796 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM3.796 juta.

Untuk rekod, sejak 2018 kerajaan negeri telah menyalurkan beberapa bentuk bantuan sebagai tanda menghargai golongan penjawat awam di negeri berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberikan sumbangan tunai berjumlah RM300 kepada 4,524 fakir miskin di negeri itu bagi menyambut kedatangan Syawal.

BACA JUGA: Penjawat awam Negeri Sembilan terima bantuan khas Aidilfitri RM1,000