Dengan cuaca hujan panas, mustahil jalan 300 km cuma melecet kaki – Pelari jarak jauh
Seorang pelari jarak jauh, Norhani Mohd Jaffar berpendapat agak sukar untuk mempercayai bagaimana seorang individu boleh berjalan sejauh kira-kira 300 kilometer (km) dari Johor ke Istana Negara, dengan kesan sampingan cuma melecet di kaki.
Juara kategori wanita acara larian denai, Cameron Ultra 2022 bagi jarak 55 km itu berkata, sesiapa sahaja boleh melakukan perjalanan tersebut tetapi perlu didahului dengan persediaan yang lengkap.
Namun, katanya yang mesra dipanggil Nanei, mengambil kira jarak tersebut dengan cuaca tidak menentu, ia boleh mengakibatkan kecederaan yang lebih serius berbanding melecet.
“Sukar untuk saya percaya, melainkan dia boleh tunjukkan bukti perjalanan dia sepanjang lima hari tersebut.
“Untuk kami sebagai pelari jarak jauh, jarak itu adalah tidak mustahil dilakukan tetapi kena disertakan dengan latihan yang cukup dan kelengkapan yang bersesuaian.
“Untuk keadaan melecet pun kita kena tengok seteruk mana kecederaan itu. Tapi lazimnya untuk jarak tersebut, dengan keadaan hujan dan panas boleh menyebabkan kecederaan yang lebih serius.
“Bukan sekadar melecet tapi boleh kekejangan, melepuh pada kaki atau tapak kaki, kelesuan, hipotermia, dan beberapa masalah lain lagi,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Jaguh pelari itu memberi komen selepas kisah pemandu teksi, Norazlan Ismail tular di media sosial apabila berjalan kaki sejauh 312 km bagi memohon Istana Negara membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam beberapa laporan diterbitkan media, ada kekeliruan timbul apabila ayah kepada lima orang anak itu dikatakan tiba di Istana dalam tempoh tiga hari perjalanan, dan ada yang melaporkan tujuh hari perjalanan.
Kenyataan yang tidak konsisten diberikan oleh lelaki ini mengundang rasa hairan dalam kalangan pengguna media sosial yang mula merasa sangsi dengan kebenaran yang diungkap.
“Pada pendapat saya, mungkin Norazlan kena lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan pada media sekiranya tiada bukti yang sepatutnya.
“Netizen lagi cekap buat kerja penyelidikan dan ini kelak akan memberi kesan negatif pada dia sendiri,” kata Nanei yang turut pernah menyertai misi mendaki Trans Gunung Tok Nenek, Gunung Bubu dan Gunung Yong Yap atau dikenali sebagai TNBYY.
BACA JUGA Lelaki jalan kaki tuntut KWSP: Ini perancangan PN?