Eksekutif jangan buat kesimpulan mudah siasatan SPRM terhadap hakim – KANUN

Pihak eksekutif tidak sepatutnya membuat kesimpulan mudah terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan Hakim Nazlan Ghazali sebelum memastikan ia mempunyai bidang kuasa terhadap perkara itu atau sebaliknya.

Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) Dr Zulqarnain Lukman berkata pihaknya juga mengingatkan semua pihak bahawa isu berkaitan kehakiman sepatutnya tidak diperbualkan melalui media massa.

“Tindakan mana-mana pihak yang mempertikaikan sistem kehakiman akan menjejaskan prinsip pemisahan kuasa sepertimana yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak eksekutif juga tidak sepatutnya membuat kesimpulan mudah terhadap laporan siasatan SPRM tanpa terlebih dahulu memastikan SPRM mempunyai bidangkuasa ke atas siasatan ke atas seorang hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan portal Freemalaysiatoday bertajuk “SPRM dapati Nazlan langgar Kod Etika Hakim, kata Azalina” memetik surat bertarikh 20 Mac lalu yang dikirimkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) kepada Tetuan Shafee & Co yang juga peguambela kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zulqarnain berkata KANUN menegaskan bahawa SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang hakim itu telah melanggar Kod Etika Kehakiman.

“Sebarang dakwaan berkaitan perlanggaran Kod Etika Kehakiman perlu diuruskan secara dalaman dan melalui prosedur yang ditetapkan dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

“KANUN juga menyifatkan mana-mana pihak yang cuba meletakkan perbicaraan ke atas institusi kehakiman di dalam medan sosial atau media massa adalah sangat berniat jahat dan merupakan usaha terdesak orang-orang tertentu untuk mencapai hasrat mereka,” katanya.

Jelasnya perkara itu disifatkan satu tindakan yang mempunyai kecenderungan menghasut orang ramai terhadap institusi keadilan di Malaysia.

“Oleh itu, KANUN berharap bahawa jika ada pihak yang mempunyai bukti berkaitan salah laku seseorang hakim dalam institusi kehakiman untuk menggunakan saluran yang betul bagi membuat aduan.

“…dan seterusnya sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menubuhkan satu tribunal di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu laporan portal yang memetik surat Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai berkata siasatan SPRM ke atas Nazlan menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.

Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela Najib Razak, Shafee & Co, Azalina mengesahkan Nazlan, hakim perbicaraan bagi kes SRC Najib, melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.

Azalina berkata perkara itu berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari yang dipanjangkan oleh suruhanjaya itu kepadanya.

Beliau menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Firma guaman berkenaan bertanya sama ada SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Dalam suratnya balasannya kepada Shafee, Azalina berkata: “Saya boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan bahawa soalan-soalan tersebut telah dijawab secara afirmatif.”

Paparan surat yang dikatakan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukumannya.

Surat bertarikh 20 Februari menyatakan bahawa siasatan SPRM mendapati “terdapat isu salah laku” oleh Nazlan yang “perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara”.

Pada 24 Februari lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun menuduh SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Nazlan.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

Nazlan yang kini hakim di Mahkamah Rayuan telah mensabitkan Najib pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Bekas Perdana Menteri kini menjalani hukuman di Penjara Kajang setelah rayuannya telah ditolak pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lepas mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.

BACA JUGA: Kerajaan teliti cadangan Majlis Raja-Raja berkaitan pengaruh eksekutif dalam kehakiman