Kakitangan negeri Pulau Pinang bakal peroleh bantuan khas RM1500

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan (BKK) bersamaan tiga suku gaji atau minima RM1500 sempena sambutan Aidilfitri.

Penjawat awam negeri bakal memperoleh dana tersebut pada 17 April.

“Pemberian yang bakal dibayar pada 17 April 2023 turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri,” kata Chow dalam satu kenyataan media.

“Sebagai tambahan BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru kelas Al-Quran serta kelas agama dan fardu ain (KAFA), guru dan kakitangan di sekolah rendah agama rakyat (SRAR) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan, guru tahfiz, pondok, tadika Islam serta sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang,” jelas beliau.

Secara kesuluruhannya, bantuan ini melibatkan kos kewangan sebanyak RM10.95 juta.

Chow menyatakan bahawa peruntukan bantuan khas ini adalah penghargaan kerajaan negeri kepata anggota perkhidmatan awam yang berusaha merealisasikan wawasan negeri ke arah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

BACA JUGA: Pakatan Harapan Pulau Pinang mesyuarat persiapan PRN 2 Apr