Mohon maaf lebih murah kosnya dari membela diri

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

Dalam kes fitnah defamation, meskipun mahkamah kelak mendapati kata-kata defendan itu adalah fitnah tetapi defendan masih lagi boleh melepaskan diri daripada dakwaan fitnah jika Mahkamah menerima pembelaannya.

Bukankah ini satu perkara yang agak pelik? Defendan memfitnah tetapi masih boleh terlepas. Ini kerana menurut undang-undang ada beberapa keadaan yang mana orang itu boleh memfitnah orang lain.

Contohnya, jika kata-kata fitnah itu diucapkan dalam Parlimen atau dalam Mahkamah maka orang itu tidak boleh disaman kerana mempunyai perlindungan mutlak (absolute privillege).

Ini kerana undang-undang melihat ada keperluan bagi memberikan perlindungan sebegini kepada wakil rakyat untuk berucap secara bebas dan untuk saksi memberikan keterangan.

Ada lagi keadaan pembelaan lain seperti pembelaan ulasan saksama (justifikasi), komen berpatutan (fair comment), perlindungan bersyarat (qualified privilege) dan lain-lain lagi. Pembelaan seperti ini boleh berlaku jika dalam penulisan yang berkepentingan awam berlaku kata-kata fitnah.

Misalnya, dalam kes Anwar Ibrahim vs Awang Hashim ini, Defendan menggunakan pembelaan justifikasi dan komen berpatutan dan menyatakan ianya berkepentingan awam.

Dalam kes ini Anwar menyaman fitnah terhadap Awang atas dua dakwaan iaitu mendakwa Presiden PKR itu menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam agensi penguatkuasaan dan pendakwaan di Malaysia, dan kedua berhubung isu pelantikan plaintif sebagai perdana menteri ke-10.

Namun, nampaknya dakwaan Awang bahawa Anwar mengheret musuh politik ke Mahkamah itu sukar dibuktikan dan dijadikan pembelaan kerana Anwar tiada kuasa ke atas Peguam Negara (AG) dan SPRM.

Mengikut undang-undang dan akta hanya AG yang boleh mendakwa, dan SPRM boleh menyiasat. Mereka tidak perlu kebenaran atau wahyu Anwar untuk mendakwa.

Untuk membandingkan Anwar dan Mahathir pun sukar sebab Mahathir pun tidak pernah kata dia ambil tindakan terhadap musuh politik kerana ISA itu untuk keselamatan negara. Lagi pun apa kaitan Anwar dan Mahathir berkaitan isu ini.

Jadi, dalam hal ini lebih baik jika sudah terlanjur mengucapkan kata-kata itu fitnah awal awal lagi mengaku sebagai fitnah daripada mempertahankan kata-kata fitnah. Apakah kepentingan awam dapat dicapai dengan kata-kata fitnah?

Kalau sudah masuk bicara di mahkamah dan didapati bersalah nanti kena hadap pula amaun ganti rugi ratusan ribu. Kesimpulannya, memohon maaf lebih murah kosnya daripada membela diri.

BACA JUGA Hadi boleh dipenjara hingga lima tahun