Peladang terima insentif RM20,000, galak tanaman jagung bijian – Menteri

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan beberapa insentif bertujuan menggalakkan penanaman jagung bijian dalam kalangan peladang di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata insentif yang disediakan pihaknya menerusi Jabatan Pertanian itu adalah seperti bayaran balik perladangan dengan keluasan minimum 25 hektar bagi syarikat atau koperasi dengan jumlah maksimum RM250,000.

MOHAMAD SABU

”Selain itu, kementerian turut menyediakan insentif geran sepadan (matching grant) dengan kadar 40:60 dengan nilai maksimum RM250,000 bagi syarikat.

”Insentif seterusnya adalah berjumlah RM20,000 untuk per hektar tanah dengan keluasan mininum 10 hektar bagi individu atau kelompok,” katanya memetik info grafik yang dikeluarkan.

Untuk rekod, pihak kementerian telah membangunkan program berkenaan melalui Pelan Pembangunan Industri Jagung Bijian bermula pada 2016 bertujuan untuk mengurangkan 30 peratus import jagung bijian negara menjelang 2032.

Fasa Pembangunan Jagung Bijian ini merangkumi tiga fasa iaitu Fasa Rintis bermula pada 2016 sehingga 2022; Fasa Pengukuhan (2023 – 2027) dan Fasa Pengembangan (2028 – 2032).

Ia melibatkan penglibatan pelbagai Jabatan, Agensi, Koperasi, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Swasta.