Pembabitan akar umbi eratkan hubungan PH-BN Melaka

Pembabitan akar umbi melalui pentadbiran kerajaan negeri Melaka dilihat berpotensi mengeratkan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.

Timbalan pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berharap hasrat itu dapat diterjemahkan menerusi Kerajaan Perpaduan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua parti politik tersebut.

“Saya berpendapat semangat perpaduan ini diterjemahkan ke peringkat akar umbi di mana wakil PH juga dilantik dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) , JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), AJK (Ahli Jawatan Kuasa) masjid dan sebagainya.

“ Pelantikan wakil PH di peringkat akar umbi lebih penting kerana ia akan menjana kepada perpaduan di kalangan rakyat berlainan parti di peringkat tersebut,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Melaka yang dibarisi Ketua Menteri dan kepimpinan Exco yang baharu.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh melantik 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Exco yang terdiri daripada seorang wakil rakyat PH. Wakil tunggal PH ialah ADUN Kesidang, Seah Shoo Shin dari DAP yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Rauf telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 31 Mac ekoran dari peletakan jawatan Sulaiman Md Ali pada 29 Mac.

Dalam pada itu, Sofi turut menyambut baik langkah pembentukan ini kerana ianya selaras dengan kerajaan di peringkat pusat.

“Pembentukan Kerajaan Perpaduan ini merupakan bukti bahawa politik negara kita mula mengorak langkah ke arah yang lebih matang serta lebih mementingkan kebajikan rakyat,” ujarnya

Sementara itu, Timbalan Majlis Pimpinan PKR Melaka Mohd Rafee Ibrahim berkata lantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) melibatkan blok PH itu mampu memberi contoh kepada negeri-negeri lain dalam merealisasikan konteks ‘perpaduan’ itu.

“Ini memberi gambaran kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan bukan hanya retorik semata-mata tetapi bersifat inklusif,” katanya.

“Diharapkan, hasrat murni ini boleh melonjakkan ekonomi negeri dan memberi contoh yang baik kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan agenda yang sama,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: Kerajaan Perpaduan Melaka: 10 Exco angkat sumpah termasuk seorang wakil PH