PN gagal jadi pembangkang konstruktif, hanya main retorik kaum dan agama

Perikatan Nasional (PN) gagal memainkan peranan sebagai pembangkang konstruktif dan berkualiti kata Ahli Jawatankuasa AMANAH, Faiz Fadzil.

Beliau berkata PN bukan sahaja gagal membentangkan belanjawan bayangan malah tidak dapat memperkenalkan Pernyataan Dasar seperti yang dijanjikan Pengerusinya Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Jelasnya, blok pembangkang itu hanya bermain dengan retorik kaum dan agama namun sentimen ini bukanlah dasar yang berupaya membantu pembangunan negara yang mampan.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) duduk di kerusi pembangkang dahulu, belanjawan bayangan untuk tahun 2023 telah dicadangkan.

“Sepatutnya belanjawan bayangan adalah peluang terbaik pihak pembangkang menjalankan peranan semak dan imbang serta peluang untuk mengutarakan idea-idea bernas tentang pengurusan fiskal negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Faiz kegagalan PN memperkenalkan belanjawan bayangan dan ‘Policy Statement’ hampir dua bulan selepas Kabinet bayangannya dibentuk mendedahkan ketandusan idea pembangkang.

“Ketandusan idea ini menunjukkan ketidakupayaan gabungan itu untuk menjadi kerajaan dan inilah yang berlaku ketika mana mereka mentadbir Putrajaya sebelum ini,” ujarnya.

Tambahnya perang terbuka pemimpin PN dan Perdana Menteri dalam isu negeri boleh menjadi ancaman kepada konsep federalisme yang dipegang selama ini.

“Kebergantungan PN kepada cara politik Sanusi (Menteri Besar Kedah) ini tidak menguntungkan negeri Kedah dan negara.

“Sanusi harus memahami bahawa Pulau Pinang telah sekian lama menjadi penghubung Kedah untuk hal-hal perdagangan antarabangsa.

“Oleh itu, Sanusi seharusnya lebih bertanggungjawab kepada rakyat Kedah dengan menumpukan aspek pentadbiran dan ekonomi dan bukannya berpolitik siang dan malam,” katanya.

Pada 9 Februari lalu, Sanusi dalam ucapan mempertikai kedaulatan negeri Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa ia dipajak daripada negeri Kedah.

Susulan daripada itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar tindakan Menteri Besar Kedah berkenaan dan meminta ditarik balik kenyataan tersebut.

BACA JUGA: Tanah Rizab Melayu: MP PN terperangkap dengan permainan sendiri – Nik Nazmi