PN lantik tiga wakil runding peruntukan kawasan

Perikatan Nasional (PN) telah melantik tiga wakil untuk berunding untuk mendapatkan peruntukan kawasan parlimen yang diwakili blok pembangkang.

“Kami telah ada tiga wakil daripada pembangkang untuk mengadakan rundingan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat,” Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada asnaf, di Kota Bharu malam tadi.

Tiga wakil tersebut adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya).

Ini adalah susulan dari persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 April, hari terakhir sesi Dewan Rakyat.

“Kami menyambut baik kenyataan beliau dan kami nak tengok bukti. Kami harap dapat disegerakan dan saya jangka rundingan itu sekali sahaja dah boleh selesai,” tambah Tuan Ibrahim.