Rakaman video sayur layu bertukar segar bukan di Malaysia – Jabatan Pertanian

Video tular memaparkan seorang lelaki membuat demonstrasi terhadap sayuran hijau yang layu menjadi segar selepas direndam dan dikeluarkan daripada larutan kimia bukan berlaku di negara ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Pertanian selepas melakukan penelitian terhadap video berdurasi 1 minit 45 saat itu yang didakwa dirakam di Pasar Selayang, Selangor dan dikatakan dijual pelarian Rohingya.

”Jabatan Pertanian mendapati bahawa kejadian tersebut bukannya berlaku di Pasar Selayang, Selangor.

“Kejadian ini berlaku di luar negara jika dilihat daripada bahasa yang digunakan dan nombor pendaftaran motosikal dalam rakaman video itu,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata siasatan juga mendapati, video asal tersebut telah dimuat naik di YouTube pada 23 Julai 2021 oleh saluran Telugu di bawah nama Mana Family Trends.

Sehubungan itu, katanya orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan menyatakan kejadian itu berlaku di negara ini.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata orang ramai diingatkan agar membeli tanaman makanan terutamanya produk sayur-sayuran yang mempunyai pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) kerana ia dijamin berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Kenyataan itu turut dikongsi di Facebook rasmi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

BACA JUGA: Khazanah Nasional, Felcra tingkatkan keterjaminan makanan