Rakyat akui STR bantu ringan beban menjelang Aidilfitri

Bantuan kewangan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah tindakan bertanggungjawab oleh Kerajaan Perpaduan untuk meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 menjelang Aidilfitri.

Tinjauan Harapan Daily di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang menjadi pilihan orang ramai untuk membeli keperluan Aidilfitri mendapati rata-rata berpendapat majoriti golongan B40 sangat bersyukur dengan bantuan yang dilihat membantu meringankan beban golongan itu.

Ina

Bagi kakitangan kerajaan, Ina, 59, pemberian bantuan kewangan itu adalah atas dasar keprihatinan kerajaan dan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang berpendapatan rendah untuk membuat persiapan menyambut musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“(STR) memang membantu memandangkan sekarang kos sara hidup tinggi. Barangan mahal jadi kepada yang kurang berkemampuan itu sedikit sebanyak akan membantu mereka.

“Sekurang-kurangnya, orang kata dapat jugalah merasa untuk hidup seperti orang lain tambah-tambah lagi di musim perayaan ini,” katanya kepada Harapan Daily.

Azhar

Sementara itu, pekerja swasta, Azhar, 25, pula akan memanfaatkan pemberian STR bagi meringankan beban perbelanjaan persiapan Aidilfitri.

“Bantuan ini boleh meringankan beban sedikit walaupun tidak sepenuhnya untuk membantu persediaan untuk membeli barangan raya.

“Harga barang naik sedikit tapi dengan bantuan yang diberikan akan memanfaatkan ramai orang kerana tidak semua rakyat hidup senang,” katanya.

Noor

Dalam masa sama, ada dalam kalangan penerima bantuan STR berharap kerajaan akan dapat menaikkan jumlah terutama pada musim perayaan ini.

Itulah yang dirasakan oleh Noor, 42, yang berniaga kuih-muih bagi menampung kehidupan.

“Sekarang, harga barang makanan sudah mahal dan macam tidak berbaloi kerana harga seperti ayam dan ikan sudah naik.

“Saya minta kerajaan tambahlah sedikit jumlah sumbangan, maksudnya RM200 itu dilebihkan pemberian.

“Jadi, bolehlah untuk menampung mereka yang berkeluarga besar dan anak yang ramai,” katanya.

Beliau yakin bukan sahaja dirinya, sebaliknya ramai lagi yang senasib dengannya apatah lagi yang tinggal di kawasan bandar dengan kos hidup yang tinggi namun pendapatan terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi.

Faezwan

Bagi Faezwan Mohamed, 39, seorang pekerja sambilan turut menyatakan hasrat yang sama kerana sangat memerlukan bantuan dalam waktu yang sangat mencabar ini.

“Kalau nak diikutkan, kerajaan kena tambah sedikit lagi jumlah kerana bantuan ini sangat diperlukan oleh rakyat untuk meringankan beban.

“Dalam keadaan ekonomi yang agak meleset, saya fikir ramai lagi orang yang betul-betul memerlukannya,” katanya.

Terdahulu, menurut Kementerian Kewangan (MoF) bayaran STR akan dikreditkan ke akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat mulai semalam.

Pembayaran fasa dua itu melibatkan nilai RM1.26 bilion itu akan disalurkan kepada 8.7 juta penerima golongan B40.

BACA JUGA Hampir sembilan juta terima Sumbangan Tunai Rahmah mulai 5 April – MOF