Tuan Ibrahim anggap Hadi hadir Parlimen pun bukan boleh tanya soalan

Ketidakhadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) nampaknya sudah mula ‘terjawab’.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap bukan semua ahli Parlimen dapat bertanyakan soalan pada sesi yang merupakan pembaharuan dilaksanakan kerajaan itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan berkata, hanya individu yang sama boleh mengemukakan soalan tambahan.

Tuan Ibrahim Tuan Man

“Kadang-kadang mereka salah faham, sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya, jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pun, bukan boleh tanya soalan.

“Orang yang kemukakan soalan bertulis dan selepas Perdana Menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya orang lain boleh mencelah,” ujarnya.

Beliau juga berpendapat isu ketidakhadiran pemimpin Perikatan Nasional (PN) pada sesi PMQ hanya mahu memberi gambaran negatif terhadap pembangkang.

“Ini kerana, prosedur dalam Parlimen bukan macam itu. Kita ada lebih 70 Ahli Parlimen dan perkara itu (isu ketidakhadiran) hanya sekadar mahu menampakkan keburukan pembangkang,” dipetik BH.

Kredit gambar: Facebook Azizul Abd Hamid

Bekas Menteri Alam Sekitar berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.

Selain Hadi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal hadir di Dewan Rakyat, bagi bertanyakan soalan ketika sesi PMQ kelmarin.

Sikap ponteng tiga pemimpin utama pembangkang itu mendapat kritikan orang ramai apabila blok pembangkang dilihat gagal mengambil peluang terbaik untuk bersemuka dan bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi tersebut.

 

BACA JUGA Hadi, Mahiaddin, Hamzah berani menyalak di luar, tapi lari semasa PMQT