‘Tugas utama ahli Parlimen pembangkang bukan cuci longkang, mereka perlu berbahas’

‘Kehilangan’ tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat sebelum ini, membuktikan pembangkang tidak serius untuk membawa suara sebagai penyemak imbang.

Ketua Pemuda Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, ketidakhadiran tiga pemimpin utama pembangkang iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut, Tan Sri Mahiaddin Yassin (Pagoh) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang)menunjukkan mereka tidak berani bersemuka dengan Perdana Menteri.

“Kalau bersemuka pun tidak berani, macam mana mereka itu semua hendak menjadi sebagai penyemak imbang yang baik kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

“Pembangkang sepatutnya memanfaatkan sesi itu untuk bertanya apa sahaja soalan berkaitan dengan kepentingan rakyat, tetapi lain pula jadinya apabila ada antara mereka yang bertanya soalan tidak konstruktif (tidak membina), cuma membuat kecoh dan provokasi.

“Jadi, kalau ditanya tujuan utama ahli Parlimen ini, mereka bukanlah masuk longkang, cuci longkang, selesaikan masalah perparitan yang sepatutnya dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tujuan utama mereka adalah untuk berbahas di Parlimen, tapi macam mana nak berbahas sedangkan mereka tidak hadir?,” bidasnya ketika dihubungi Harapan Daily.

Asmaaliff Abdul Adam

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peranan PN yang dilihat seolah-olah tidak suka membangkang sepanjang persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15.

Mengulas lanjut kata Asmaaliff, jika ahli Parlimen pembangkang tidak menggunakan pengaruh dan kuasa yang ada pada mereka sebagai penyemak imbang, ia sesuatu yang amat merugikan rakyat.

“Kita akui kerajaan sekarang ini bukannya sempurna dan ada kekurangannya. Kalau mereka (pembangkang) tidak menggunakan kuasa sebagai penyemak imbang, itu sangat merugikan rakyat terutama kepada mereka yang mengundi pembangkang,” katanya.

Menurutnya, pengundi pembangkang mungkin mengharapkan sesuatu pembaharuan dapat dilihat pada kerajaan sekarang ini, hasil daripada semak dan imbang oleh parti yang mereka undi sebelum ini.

“Seperkara lagi, tujuan utama seseorang itu dipilih sebagai ahli Parlimen adalah untuk menjadi penggubal undang-undang.

“Namun, bagaimana perkara tersebut akan menjadi kenyataan jika mereka tidak hadir ke Dewan Rakyat untuk sesi perbahasan?

“Jadi, ketidakhadiran tersebut boleh dipertikaikan dan ianya berkait dengan elaun yang dibayar kepada mereka, atau pun gaji yang diterima ahli Parlimen bahawa mereka dibayar gaji untuk berbahas.

“Bahkan minta dijauhkan, takut termasuk dalam mereka yang mengambil hak orang lain apabila sepatutnya mereka dibayar gaji untuk kerja tertentu, tetapi tidak dilaksanakan pun kerja itu, seolah-olah makan gaji buta,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Hadi, Mahiaddin, Hamzah berani menyalak di luar, tapi lari semasa PMQT