Agus bidas sentimen kaum, agama PEMBELA
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff membidas artikel Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang didakwa menimbulkan sentimen perkauman dan agama.
Menerusi satu kenyataan, Agus mengulas artikel yang bertajuk “Empangan Murtad Bakal Pecah” digunakan hanya untuk membangkitkan emosi orang Melayu.
Artikel itu antara lain menyatakan sejak kebelangan ini kedudukan Islam terancam kerana berikutan beberapa kes yang melibatkan kepentingan Islam telah difailkan di mahkamah.
Menurut artikel itu, sekiranya tuntutan berjaya, ia bakal menyaksikan semua mualaf dimurtadkan secara besar-besaran.
Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, artikel berkenaan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
“Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?
“Tajuk empangan pecah pun menakutkan, digunakan semata-mata untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu terdapat pihak menggunakan isu perkauman untuk menakutkan etnik majoriti Melayu dengan mendakwa bangsa dan agama mereka terancam.
“Sentimen sebegini jika diratibkan boleh menimbulkan ketegangan kaum. Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum ini seperti dalam peristiwa 13 Mei 1969,”katanya.
Justeru, sebagai rakyat yang patriotik, bekas pensyarah sains politik itu menyeru warga Malaysia menolak permainan sentimen kaum dan agama tanpa fakta dan data.
“Kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati, kita boleh melangkah maju dan gagah untuk kembali perkasa di pentas dunia. Bukankah ini yang kita mahu?,” ujarnya.
BACA JUGA: PN gagal jadi pembangkang konstruktif, hanya main retorik kaum dan agama