Kebimbangan doktor kontrak boleh ditangani menerusi dialog, rundingan

Sesi dialog atau rundingan adalah antara kaedah boleh diguna pakai bagi mengatasi kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan seperti doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di negara ini.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj (gambar atas) menyifatkan, banyak permintaan daripada golongan ITU adalah munasabah seperti kenaikan gaji pokok dan elaun tugasan atas panggilan (on-call).

“Walaupun mogok bukan cara yang betul untuk meluahkan keluhan mereka, namun kerajaan perlu terus melibatkan diri dengan doktor kontrak dan menangani kebimbangan mereka menerusi dialog dan rundingan dengan penuh hormat.

“Tuntutan mahukan jawatan tetap itu mungkin tidak begitu mudah untuk dipenuhi, tetapi saya berpendapat ianya (jawatan tetap) adalah amalan masa lalu. Di negara maju dan negara jiran, sudah tiada lagi jawatan tetap.

“Jadi, saya berpandangan golongan doktor muda mungkin perlu menerima realiti itu.

“Apabila kakitangan dalam perkhidmatan penting seperti kesihatan memilih melancarkan mogok, ianya adalah sesuatu yang mengecewakan kerana kita rakyat Malaysia mengamalkan sikap saling menghormati dan sentiasa berbincang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Doktor kontrak pernah mengadakan unjuk rasa sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Dr Andrew diminta mengulas mengenai saranan kepada pihak kerajaan dalam menangani polemik berlarutan melibatkan doktor kontrak bagi memastikan sektor kesihatan negara berjalan lancar.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penyerapan doktor lantikan kontrak ke jawatan tetap dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Perdana Menteri berkata, penyerapan itu perlu dibuat secara berperingkat selepas mempertimbangkan implikasi kewangan perlu ditanggung kerajaan, jika ia diselesaikan secara sekali gus.

Sehubungan itu, katanya, seramai 4,300 daripada 20,333 doktor lantikan kontrak di seluruh negara yang akan diserap ke jawatan tetap secara sekali gus pada tahun ini.

Anwar antara lain berterima kasih kepada doktor kontrak yang berdepan masalah itu untuk sekian lama, selain tidak meneruskan rancangan untuk mogok bagi mendesak penyelesaian isu tersebut.

BACA JUGA Isu doktor kontrak: Kerajaan diseru tambah jawatan tetap