Kerajaan Madani pacu pelaksanaan agenda ‘Kesihatan Untuk Semua’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua rakyat di negara ini perlu mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang sempurna kerana ia merupakan hak asasi semua individu.

Menurutnya, kerajaan akan terus mengadakan hubungan erat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan kumpulan memerlukan.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata demikian sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia hari ini.

“Saya mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu pelaksanaan agenda Kesihatan Untuk Semua.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan WHO bagi mempromosi kesihatan, memelihara kesejahteraan serta memberi perkhidmatan kepada golongan rentan agar setiap orang di mana sahaja boleh mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, tema ‘Kesihatan Untuk Semua’ dipilih pada sambutan tahun ini selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia Madani.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan mengiktiraf hak untuk kesihatan sebagai hak asasi manusia yang penting bagi mencapai kehidupan yang bermaruah.

“Hak untuk kesihatan ini seharusnya dinikmati oleh setiap orang secara saksama tanpa mengira status atau sebarang perbezaan dan diskriminasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA JUGA PM Anwar sambung tugasan selepas disahkan sihat