MAIS tidak akan berkompromi isu penceramah tiada tauliah

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memperkasakan penguatkuasaan di setiap peringkat bagi memastikan semua pihak akur hanya individu bertauliah dibenar memberi ceramah dan kuliah di negeri itu.

Setiausaha Jawatankuasa Tauliah MAIS, Sabariah Salleh berkata pihak berkuasa agama Islam negeri tidak akan berkompromi untuk tauliah diberikan kepada mana-mana individu yang cenderung atau aktif dalam parti politik.

Menurutnya, tindakan itu juga dapat mengekang penceramah yang tidak bertauliah daripada terus mengajar di mana-mana masjid dan surau di Selangor.

“Jika ada pihak-pihak yang tidak mempunyai tauliah memberi ceramah di masjid atau surau, aduan rasmi hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan diambil berdasarkan perundangan yang ada.

“JAIS melalui bahagian dakwah hanya melaksanakan pengurusan permohonan tauliah mengajar agama Islam bagi pemohon yang memenuhi syarat kelayakan seperti yang telah ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya kepada Harapan Daily melalui satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ini bersesuaian dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 18 Februari 2022 yang memberi peringatan dan menitahkan hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor.

Terdahulu, Ustaz Wan Ji Husein mendakwa JAIS bersikap ‘double standard’ apabila terus membenarkan ustaz-ustaz Pas memberikan ceramah ketika larangan sudah dibuat oleh pekeliling jabatan itu sendiri.

Tauliah mengajar di Selangor (agama Islam) ialah suatu pelantikan untuk mengajar atau memberi kuliah berkaitan agama Islam di Selangor.

Ia diperlukan bagi sesiapa yang ingin mengajar ilmu Islam di Selangor bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat.

BACA JUGA Selangor mengupayakan sistem pendidikan Islam