PM Anwar seru rakyat terus tolak salah guna kuasa
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua untuk terus membina adab dan ketamadunan yang tinggi bukannya bertujuan untuk mendapatkan profesion, kedudukan serta kuasa.
Untuk itu beliau menyeru, semua rakyat di negara ini supaya terus berpegang untuk menolak sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan khianat daripada terus berlaku.
“Saya dan kerajaan Madani ini melontarkan asakan yang kuat kepada elit penguasa yang menggunakan kuasa untuk membolot kekayaan dengan menganggap jawatan Perdana Menteri dan Menteri itu bererti memperkayakan kroni dan sanak saudara.
“Saya asak bukan sahaja bantah tindakan ini tetapi pemikiran ini harus dirombak,” tegasnya.
Beliau berkata demikin ketika berucap pada Majlis Dialog Perdana Menteri bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia di Shah Alam hari ini.
Justeru kata Menteri Kewangan itu, pelajar universiti harus membawa paradigma dan pemikiran baharu yang menjadikan pendidikan itu dapat membina adab dan ketamadunan.
“Pelajar bertanggungjawab membina profesion dan keluarga serta membina tamadun dan tamadun itu tegak dengan nilai keyakinan dengan ilmu tinggi.
“Saya juga nak tunjuk bahawa ada orang Melayu dan Islam yang boleh mentadbir dengan bersih dan cekap serta tidak menyakau duit rakyat,” ujarnya.
Program yang dihadiri lebih 200 mahasiswa itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi mendapatkan input serta pandangan mahasiswa bagi bersama-sama membangunkan Malaysia Madani.
Selain itu, ia juga menjadi platform bagi Anwar membincangkan pelbagai isu secara santai bersama anak muda.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan juga Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.
BACA JUGA Keprihatinan Anwar terhadap Selangor, mahu UNISEL jana perubahan