RUU anti hendap lindungi wanita yang dicerai lelaki ‘gila talak’

Ketua Biro Pembangunan Komuniti Wanita Keadilan Pusat, Noraziah Mohd Razit menyambut baik pindaan Kanun Keseksaan yang memasukkan perbuatan menghendap (stalking) sebagai satu kesalahan jenayah.

Beliau yang berpengalaman mengendalikan kes berkaitan ibu tunggal, mengakui ramai daripada golongan itu masih diganggu si suami walaupun selepas bercerai.

Hal itu, jelasnya, menyebabkan ramai ibu tunggal sering berasa terancam dan tidak selamat kerana masih diperhatikan bekas suami.

“Dengan zaman yang telah berubah ini, menghendap bukan sahaja dengan cara mengganggu di rumah mahupun di tempat kerja.

‘Malahan, ia juga boleh dilakukan melalui media sosial yang kebanyakan daripada kita mempunyai platform ini.

“Bagi wanita pula, saya banyak bersama ibu tunggal dan ada sesetengah bekas suami mereka yang tidak boleh move on atau bahasa mudahnya ‘gila talak’ yang kadang kala selalu mengganggu mereka.

“Gangguan itu berlaku sama ada di tempat kerja, rumah atau mengganggu mereka di media sosial sehinggakan ibu-ibu tunggal ini merasa terancam dan susah untuk mengatur hidup baru bersama anak-anak,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Dalam pada itu, Noraziah yang juga Exco Wanita PKR Pusat berkata, beliau berharap dengan adanya pindaan baharu tersebut, ia dapat menokhtahkan penderitaan dan ketakutan golongan wanita.

Individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan menghendap sama ada lelaki atau wanita kini boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ia selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi kesalahan menghendap.

Seksyen itu menyebut sesiapa berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

BACA JUGA RUU kebajikan warga emas tahun depan

Â