Tuan Ibrahim, Wan Saiful patut dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen – Kit Siang

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sepatutnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana didakwa tidak memberikan gambaran sebenar mengenai persidangan Parlimen.

Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ini selepas kedua-dua ahli politik Perikatan Nasional itu mempertahankan ketidakhadiran tiga pemimpinnya semasa sesi pertanyaan perdana menteri (PMQT), dengan mengatakan bahawa jika pemimpin mereka hadir sekalipun, ruang tidak akan diberi untuk mencelah kerana ahli Parlimen yang dipanggil Speaker sahaja boleh bangkit mengemukakan soalan.

Menjawab dakwaan ahli politik PN itu, Kit Siang berkata, kedua-duanya mengeluarkan kenyataan salah kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat pastinya akan memberikan keutamaan jika terdapat pemimpin utama parti pembangkang bangkit untuk bertanya soalan susulan.

Jelasnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memberikan keutamaan berdasarkan kekananan dan kedudukan seseorang ahli Parlimen.

“Kedua-dua Tuan Ibrahim dan Wan Saiful bersalah kerana menyalahtafsir kuasa dan keistimewaan Parlimen. Ini kerana jika Hadi bangkit untuk bertanya soalan tambahan semasa PMQT, beliau akan diberi keutamaan kerana pangkat dan kedudukannya.

“Yang DiPertua Dewan akan bersalah atas kelakuan yang paling tidak berparlimen jika beliau tidak memberikan keutamaan kepada Hadi berbanding ahli Parlimen lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata demikian merujuk kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang). Beliau timbalan presiden PN dan presiden Pas.

Terdahulu, Wan Saiful mempertahankan ketidakhadiran tiga pemimpin Perikatan Nasional semasa PMQT, dengan mengatakan ketika sesi itu, hanya ahli Parlimen yang dipanggil oleh Speaker sahaja yang boleh berdiri untuk mengemukakan soalan, manakala ahli Parlimen lain tidak dibenarkan untuk mencelah.

Tuan Ibrahim juga dalam respon berasingan berkata, ketidakhadiran presidennya ketika sesi PMQT tidak harus diperbesarkan kerana jika Abdul Hadi hadir sekalipun, beliau tidak boleh mengemukakan persoalan.

“Jika Tok Guru (Hadi) hadir sekalipun, beliau tidak boleh mengemukakan pertanyaan semasa sesi soal jawab bersama Perdana Menteri (PMQ) di sidang Parlimen,” kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu Kit Siang menambah, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menghadapi masalah jika ketiga-tiga pemimpin PN -Hadi, Mahiaddin dan Hamzah- bangun serentak untuk bertanya soalan tambahan kepada Perdana Menteri.

Namun Yang Dipertua Dewan Rakyat terlepas daripada masalah itu kerana ketiga-tiga pemimpin PN tidak pernah bangun serentak untuk bertanya soalan tambahan kepada Anwar, kerana mereka semua tidak hadir di semua PMQT sepanjang lapan minggu Parlimen baru-baru ini.

“Saya menjangkakan tiga pemimpin PN akan mendominasi PMQT tetapi ketiga-tiga pemimpin PN itu tidak mengemukakan satu soalan pun sepanjang lapan minggu PMQT. Bolehkah trio PN menjelaskan mengapa?

“Adalah dikesalkan bahawa kedua-dua ahli Parlimen, Tuan Ibrahim dan Wan Saiful, tidak memberi gambaran sebenar tentang prosiding Dewan Rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Kit Siang juga mempersoalkan ‘adakah ada mana-mana pembangkang di negara luar yang tidak hadir selama lapan minggu berturut-turut ketika sesi PMQT?’.

Baca juga: Wan Fayhsal dakwa rakyat jual organ sebab susah, Noor Hisham tampil beri respon