Wan Fayhsal dakwa rakyat jual organ sebab susah, Noor Hisham tampil beri respon

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menyokong mana-mana pihak yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak.

Ia susulan dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika di lobi Parlimen baru-baru ini bahawa ada rakyat yang menjual buah pinggang bagi meneruskan kelangsungan hidup berikutan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan kerajaan.

“KKM ingin menekankan bahawa sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan exploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

“Jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Sebelum ini, Ahli parlimen DAP Dr Kelvin Yii tampil mencabar pembangkang supaya mengemukakan bukti kononnya terdapat segelintir rakyat Malaysia yang terpaksa “menjual buah pinggang mereka” untuk menampung kehidupan.

Menyifatkannya sebagai dakwaan serius, ahli Parlimen Bandar Kuching itu yang juga adalah seorang doktor perubatan, menegaskan bahawa menjual organ adalah haram.

“Ini adalah dakwaan serius Wan Fayhsal. Penjualan organ adalah haram. Jika dia membuat tuduhan sedemikian, lebih baik dia membuktikannya,” kata Kelvin.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini.

“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah yang sama untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” ujarnya.

Baca juga: Polis cari Roslizal Razali bantu siasatan