‘Bukan setakat cakap pasal hidup Melayu tapi jangan amal rasuah’

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemimpin Islam bukan hanya bercakap tentang Melayu sebaliknya perlu mengamalkan nilai murni termasuk tidak rasuah.

Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu memikul amanah untuk menjaga segenap lapisan rakyat.

“Pemimpin bukan setakat cakap pasal hidup Melayu, berjuang atas nama Islam tetapi kena jadi contoh untuk jaga negara sebagai amanah, supaya orang tengok ada orang Melayu bersih, tidak amal rasuah dan prihatin nasib orang susah,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Nur Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan di Kampung Kerinchi, hari ini.

Menurutnya, jika apa yang dianjurkan dalam al-Quran benar-benar difahami, keseimbangan dan kesederhanaan boleh menjadi salah satu kelebihan terbesar dimiliki oleh pemimpin Islam.

“Allah janji kepada kita umat yang mempertahankan keseimbangan, tahu tanggungjawab dunia dan akhirat, iman dan ilmu, akal dan kalbu, rohani dan jasmani, manusia dan persekitaran.

“Sebab itu kita tak boleh langgar bukit-bukau, balak ditebang sesuka hati. Semua jahanam kerana tidak ada keseimbangan, kerosakan yang berlaku pula akan menimpa rakyat yang rendah kedudukannya,” ujarnya lagi.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM200,000 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di sekitar Parlimen Lembah Pantai.

BACA JUGA RM35 juta peruntukan tambahan perkasa PPR – PM Anwar

Â