‘Mahiaddin banyak masalah sekarang, dia tidak baca apa kenyataan saya’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Yassin bahawa beliau membuat kenyataan ‘cuai’ mengenai Laut China Selatan yang menjadi tumpuan pertikaian wilayah antara beberapa negara.

Beliau turut menyifatkan Presiden Bersatu itu sebagai individu yang bermasalah dan tidak meneliti kenyataan yang dikeluarkan beliau.

“Mahiaddin ini dia banyak masalah sekarang, dia tidak baca apa kenyataan saya… tiada langsung saya sebut saya hendak tolak ansur dan ini yang saya sampaikan kepada pemimpin-peminpin China yang tidak dilakukan beliau (Mahiaddin).

“China menyatakan ada bertindih (tuntutan) jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.

“Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam Selangor, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, isu seumpama itu tidak akan berbangkit sekiranya pihak pembangkang menunjukkan kehadiran yang positif di Parlimen.

“Ini adalah masalah pembangkang (PN) yang tidak dapat hendak tumpukan, tidak hadir Parlimen, tidak dengar pandangan dan tidak baca ulasan kerana kita (Kerajaan Perpaduan) konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan.

“Memang China kata ada bertindih jadi saya kata bincang,” ujarnya lagi.

Kelmarin, Mahiaddin mendakwa Anwar secara tidak langsung memperakui tuntutan China ke atas kawasan itu yang secara rasminya milik Malaysia, sambil menambah wilayah Malaysia mesti dipertahankan.

Presiden Bersatu itu berkata, projek carigali Petronas berada dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan atau dituntut China, justeru kenyataan Anwar boleh mengancam kedaulatan Malaysia.