Sejuk mata memandang, rakyat teruja ulama tersohor Mesir bersama PM Anwar

Sejuk mata memandang apabila Perdana Menteri kerap bersama ulama dalam pelbagai majlis ilmu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Itu antara reaksi orang ramai terhadap perkongsian Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook rasmi beliau mengenai majlis berbuka puasa di Seri Perdana semalam.

Dihadiri lebih 1,000 pemimpin serta ahli parti dalam Kerajaan Perpaduan, solat tarawih dan witir pada malam 17 Ramadan itu dipimpin oleh ulama Mesir, Prof Syekh Dr. Ahmad ‘Isa Al-Ma’sharawi.

Dr. Ahmad ‘Isa memimpin solat tarawih di Seri Perdana malam tadi.

Menyifatkan pakar tajwid dan qira’at itu sebagai “tetamu istimewa”, Anwar berkata beliau juga berpeluang mendengar nasihat-nasihat bersumberkan al-Quran selepas usai solat tarawih.

“Saya turut berkesempatan meluang masa dengan beliau dan mendengar pesan-pesan al-Quran yang mengesankan bersempena Nuzul al-Quran.

“Beliau (Dr Syekh ‘Isa) turut mendoakan kepimpinan negara serta kesejahteraan umat Islam di Malaysia,” ujarnya.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau akan menjadikan mutiara nasihat Syekh ‘Isa itu sebagai panduan.

Untuk rekod, Dr Syekh ‘Isa, 70, memiliki ijazah tertinggi dalam bidang hadis dan menjadi murid pertama mengkhatamkan al-Quran di Kuttab Syaikh Abdul Hamid Hajjaj pada usia 10 tahun.

Beliau juga merupakan bekas Syeikh Umum al-Maqari’ al-Misriyyah, iaitu Ketua dan Rujukan Utama pusat-pusat pengajian al-Quran di seluruh Mesir.

Syekh ‘Isa sebagai juri ketika didatangi Ahmad Azfar selepas memperdengarkan bacaan yang mengesankan hati.

Ulama yang pernah dilarang oleh kerajaan Mesir daripada menjadi imam tarawih di mana-mana masjid di negara itu menarik perhatian rakyat Malaysia apabila dilihat menangis semasa mendengarkan bacaan al-Quran seorang qari, Ahmad Azfar Azraie, 10.

Alunan bacaan al-Quran yang mengesankan daripada si cilik itu menyaksikan Ahmad Azfar dinobatkan sebagai johan bagi kategori bawah 15 tahun dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa 2022 di Algeria.

 

BACA JUGA Menjelang Ramadan, 250 tetamu hadiri Majlis Ilmu Madani bersama PM Anwar