Teruskan menghasut, ini ‘khabar baik’ buat pencetus isu 3R

Buat golongan penghasut yang menyentuh sensitiviti berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja, ada ‘khabar baik’ dari Bukit Aman hari ini.

Anda boleh disiasat pada kadar segera dengan siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh hari.

Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Menurutnya, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan kes 3R bagi tempoh 27 Mac sehingga 6 April lalu.

“Daripada jumlah itu, empat kes adalah berkaitan penghinaan Institusi Diraja, dua kes membabitkan penghinaan agama dan satu kes membabitkan elemen perkauman,” katanya.

Jelasnya, dua individu ditahan setakat ini membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman manakala seorang suspek sedang dalam proses dikesan.

“Daripada tujuh kertas siasatan, tiga dirujuk ke pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) perlembagaan persekutuan manakala empat kes lagi masih dalam siasatanpihak USJT.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R,” katanya.

Sehubungan itu, Noorsiah berharap orang ramai bijak menggunakan media sosial bagi memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama.

“Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah kanun keseksaan,” tambah kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Kes terbanyak di bawah Akta Hasutan dalam tahun 2020