Aidilfitri: 4,524 asnaf Negeri Sembilan dapat bantuan RM1,000 dan RM800
Prihatin dengan kesusahan hidup golongan asnaf lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, seramai 4,524 golongan itu menerima bantuan bagi sambutan perayaan itu dalam masa terdekat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata setiap golongan fakir yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bakal menerima bantuan tunai RM1,000 manakala golongan miskin sebanyak RM800.
”Sumbangan itu adalah hasil dividen Projek Khas Pembangunan Tanah Menteri Besar Pemerbadanan atau MBI dengan Felcra Berhad yang diterima sejak tahun 2003.
”Jumlah keseluruhan sumbangan MBI Negeri Sembilan yang akan diagihkan adalah sebanyak RM1.35 juta,” kata beliau dalam hantaran di Facebook semalam.
Sebelum ini Aminuddin mengumumkan golongan tersebut akan mendapat bantuan Aidilfitri sebanyak RM300 dan dengan pengumuman terbaharu itu bermakna mereka akan menerima sumbangan MBI lebih tinggi.
Terdahulu, dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Hussein, Seremban 2 menyaksikan seramai 162 asnaf fakir dan miskin dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau, Rahang dan Bukit Kepayang telah menerima bantuan Aidilfitri daripada MBI NS.
Selain itu pada 6 April lalu, Aminuddin mengumumkan seramai 433 Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri itu akan menerima RM1,000 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, seramai 433 Setiausaha MPKK turut menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM600 setiap seorang.
”Kerajaan Negeri menerusi MBI akan memberikan bantuan khas itu membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM692,800.
“Bantuan itu sebagai bagi menghargai peranan Pengerusi dan Setiausaha MPKK di kawasan masing-masing.
”Diharapkan dengan bantuan ini ia akan menyemarakkan lagi semangat MPKK untuk bekerja lebih kuat membantu rakyat,” katanya.
BACA JUGA: Aidilfitri: 433 Pengerusi MPKK Negeri Sembilan terima bantuan RM1,000