Anda mahasiswa? Kini boleh daftar syarikat percuma jana pendapatan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengembangkan skim pendaftaran perniagaan percuma kepada golongan mahasiswa yang dilihat berminat menjana pendapatan melalui media sosial, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau berkata skim tersebut telah diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif SSM khas kepada golongan B40 untuk membantu mereka mendaftarkan perniagaan.
“Melalui inisiatif ini, golongan B40 yang menjalankan perniagaan tidak kira sepenuh masa atau secara sambilan, online atau offline akan memperoleh banyak manfaat sekiranya mendaftarkan perniagaan mereka di SSM.
“Inisiatif ini juga dikembangkan kepada pelajar IPT yang acap kali kita dengar berminat menjana pendapatan melalui platform seperti TikTok, FB live dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salahuddin berkata beliau berharap inisiatif Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) dapat membantu menambah baik status sosioekonomi masyarakat di negara ini.
Sebelum laporan ini menyebut kementerian menyasarkan 20,000 individu bujang B40 dan pelajar IPT mendaftar perniagaan melalui SSM menjelang hujung tahun ini.
Rekod menunjukkan dari Januari hingga 8 April lalu sebanyak 13,255 syarikat telah didaftarkan.
Skim pendaftaran percuma itu merangkumi perniagaan milikan tunggal guna nama sendiri seperti dalam kad pengenalan dan guna nama tred.
Inisiatif tersebut hanya untuk tempoh satu tahun atau satu kali permohonan.
Permohonan bagi SPPP itu boleh dibuat melalui laman ezbiz.ssm.com.my.
Terdahulu semalam beliau menyempurnakan program Wakalah Zakat SSM di Wisma PERKESO, Alor Setar, Kedah.
“Alhamdulillah, pada hari ini saya dapat bertandang ke negeri Jelapang Padi dan menyempurnakan penyampaian sumbangan Wakalah Zakat Korporat SSM berjumlah RM100,000 kepada lebih 500 penerima asnaf di negeri Kedah,” ujarnya.
Hadir sama anggota SSM Asmirul Aris yang juga ADUN Kubang Rotan, ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr. Ismail Salleh, Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth dan Pengarah SSM negeri Ismanani Khazali.
BACA JUGA: Tiada kenaikan harga minyak masak botol sehingga 7 Mei
Â