Bantuan mangsa ribut Sepang, Puchong disalurkan segera – MB Selangor

Kerajaan Selangor akan menyelaraskan bantuan kepada mangsa terjejas kejadian kejadian ribut di Sepang dan Puchong dalam kadar segera, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar berkata bantuan akan diatur melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Saya dimaklumkan berkenaan kejadian ribut yang berlaku di Sepang dan Puchong yang mengakibatkan kerosakan rumah dan kediaman.

“Kerajaan Negeri melalui PBT dan MBI akan menyelaras bantuan kepada mangsa terlibat dalam kadar segera,” jelas beliau menerusi Facebook.

Sementara itu, wakil rakyat Dengkil Adhif Shan Abdullah memaklumkan lebih 20 lokasi terlibat dalam kejadian ribut semalam antaranya  Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana, Bukit Puchong 2.

Turut terjejas peniaga bazar Ramadan di Putra Perdana, Puchong.

“Dilaporkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan serta rumah-rumah penduduk juga turut mengalami kerosakan,” katanya yang turut berterima kasih kepada komuniti yang bertindak pantas membantu.

“Saya bersimpati dengan semua yang terkesan dan berharap penduduk dapat bersabar dalam menghadapi dugaan di bulan Ramadan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam (ATM) yang memberitahu terdapat enam buah rumah terjejas akibat ribut di Pangsapuri Angsana.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam memeriksa lokasi kejadian ribut di Pangsapuri Angsana, Bukit Puchong 2 pada 8 April 2023. Foto FB APM Sepang.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam memeriksa lokasi kejadian ribut di Pangsapuri Angsana, Bukit Puchong 2 pada 8 April 2023. Foto FB APM Sepang.

 

Peniaga bazar Ramadan Taman Putra Perdana terjejas akibat kejadian ribut semalam. FB Mohd Azrin Abdullah