Peningkatan penerbangan tambahan tunjukkan ekonomi makin pulih

Ekonomi negara dilihat semakin menunjukkan pemulihan apabila Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan 527 penerbangan tambahan iaitu peningkatan 43 peratus berbanding tahun lepas bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Bekas penyelidik Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata peningkatan kelulusan penerbangan tambahan memberi peluang kepada warga kota untuk pulang ke kampung sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri ini.

“Diharap peningkatan kelulusan penerbangan tambahan ini seiring dengan peningkatan standard perkhidmatan samada dari syarikat penerbangan mahupun dari pihak lapangan terbang.

“Saya juga berharap masalah-masalah ‘common’ seperti pesawat ‘delay’ atau pesawat dibatalkan tidak berlaku agar mood rakyat untuk pulang beraya tidak akan terjejas,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui MAVCOM mengumumkan kelulusan sebanyak 527 penerbangan tambahan untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Langkah tersebut bagi menampung permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri pada 21 atau 22 April ini.

Kata kenyataan suruhanjaya itu, selari dengan industri penerbangan antarabangsa, penetapan harga tiket biasa adalah berdasarkan mekanisme dinamik, di mana pembeli awal boleh mendapat harga terbaik apabila masih banyak lagi tiket belum terjual.

“Berikutan kelulusan MAVCOM, syarikat penerbangan AirAsia dan Batik Air telah mengumumkan tiket penerbangan tambang tetap pada Mac 7 dan Mac 10,” menurut kenyataan itu.

BACA JUGA: Fokus aspek operasi elak kelewatan penerbangan – Anthony Loke