PH, BN bertanding di kerusi sedia ada elak hadapi masalah ketika PRN

Kata sepakat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk kekal bertanding di kerusi yang disandang masing-masing adalah langkah sesuai untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata keputusan itu adalah untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku terdapat perubahan dalam agihan kerusi.

”Saya berpendapat adalah lebih sesuai untuk kita mengekalkan apa yang sedia ada. Keputusan juga sudah dibuat di peringkat tertinggi parti dan kami akur dengannya.

”Dalam konteks Negeri Sembilan, PH mempunyai 20 kerusi manakala BN 16 kerusi. Jadi, sebarang pertukaran akan menyebabkan lebih banyak masalah, apatah lagi kita akan menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Mohamad Rafie berkata memandangkan kerjasama antara gabungan itu masih baharu, kedua-dua parti perlu menunjukkan keikhlasan dan akur dengan konsep bertolak ansur.

“Ini kerana yang lebih penting adalah memastikan gabungan ini dapat dikekalkan agar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan bagi meneruskan agenda memajukan negara,” katanya.

Beliau mengulas keputusan PH-BN bersetuju agar masing-masing kekal bertanding di kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengenai potensi dalam PRN nanti, Mohamad Rafie menyifatkan, kerja kuat disulami usaha untuk membela nasib rakyat dilihat mampu menghasil sesuatu yang positif.Beliau yang juga Exco Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan berkata PH atau BN perlu meneruskan usaha membela rakyat dan memajukan negara.

”Andai kata itu dilakukan, saya cukup berkeyakinan rakyat akan tetap memilih mereka yang bekerja ke arah itu. Paling penting sekarang kita perlu bekerja seperti yang diamanahkan.

”Bukan hanya setakat untuk pilihan raya malah dalam tempoh lima tahun lalu, kita (PH) telah membuktikan seperti bekerja kuat untuk memastikan keadaan yang lebih baik kepada kita.

”Dalam banyak aspek, PH dari segi prestasinya, ekonomi dan juga pendidikan memang lebih baik. Kita memang agak ke depan dalam menjuarai membela nasib rakyat dan memajukan negara,” ujarnya.

Semalam Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata  kerusi penyandang dikekalkan merupakan antara beberapa parameter yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk memandu proses agihan kerusi bagi PRN di enam negeri.

Saifuddin berkata, pihaknya menjangka pengagihan kerusi akan selesai sebelum penamaan calon PRN untuk enam negeri tersebut.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada 1 Jun depan sekali gus memberi laluan kepada PRN.

Selain Negeri Sembilan, pilihan raya negeri juga bakal melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang dimenangi pada PRU14.

Pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA: Umno – Pakatan Harapan Negeri Sembilan cari persefahaman hadapi PRN